Sharkar Yakin Kepimpinan UMNO Temerloh Tingkatkan Lagi Perjuangan

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Perubahan kepimpinan UMNO Temerloh yang menyaksikan muka baharu pada pemilihan baru-baru ini adalah satu kesinambungan perjuangan yang telah ditinggalkan oleh mantan Ketua UMNO bahagian sebelum ini, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Bagi beliau yang kini masih kekal sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO setelah diberi kepercayaan oleh perwakilan seluruh negara pada pemilihan parti Sabtu lalu, kepimpinan UMNO Temerloh sudah pasti akan meneruskan kesinambungan perjuangan yang telah diasaskan bersama sebelum ini.

Sharkar yang menerajui bahagian berkenaan sejak 2008 seterusnya menambah beliau mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan pada pemilihan kali ini bagi memberi laluan kepada muka baharu untuk menerajui kepimpinan bahagian tersebut.

“Alhamdulillah selesai Mesyuarat Perwakilan UMNO Temerloh baru-baru ini… kepimpinan baru pun telah dipilih, saya mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatan ketua bahagian, memberi laluan kepada muka-muka baru.

“Tahniah kepada semua… Datuk Ridzuan Hazimin bersaing dengan Datuk Norazmi, Sdr Azril Rizal bersaing dengan Datuk Anuar Yunus, dan Datuk Razmi Sudin bersaing dengan Haji Shukur. Mereka ini bersama saya selama tiga penggal, kita pernah menang kita pernah kalah dalam PRU, persaingan ini persaingan keluarga,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Speaker DUN Pahang seterusnya berharap masing-masing yang diberikan kepercayaan agar dapat melaksanakan tanggungjawab sebaiknya dalam mengemudi UMNO bahagian tersebut.

“Mereka ini telah bersama saya dalam satu perjuangan dan dalam satu saf sebelum ini. Apa pun ianya diharap akan memberi harapan baru pada masyarakat di Temerloh. Selamat bertugas,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.