Penganjuran ‘Fun Run’ Tidak Sensitif Dengan Masalah Air Di Kedah – Shaiful Hazizy

ALOR SETAR, 23 Mac – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin melihat penganjuran ‘Fun Run’ di negeri itu bersempena Hari Air Sedunia tidak bertepatan dengan senario masalah air di negeri tersebut.

Menurut beliau, rata-rata komen daripada pengguna facebook berkaitan penganjuran berkenaan menyifatkan ianya tidak kena pada masanya kerana negeri tersebut dibelenggu oleh masalah berkenaan.

“Saya terkesan dengan komen-komen daripada para pengguna facebook berkaitan anjuran ‘fun run’ oleh kerajaan negeri Kedah bersempena Hari Air Sedunia ketika mana ramai di antara pengguna air di negeri Kedah sedang menderita  mengalami masalah gangguan bekalan air.

“Mereka menyifatkan anjuran ‘fun run’ dan majlis sambutan tersebut sebagai tidak sensitif terhadap permasalahan yang mereka terpaksa tanggung. Saya difahamkan bahawa semua loji-loji yang diberikan kepada WIDAD Group mengalami kelewatan dan masih di bawah 10% kadar progress pembinaan berbading jadual sebenar yang sepatutnya mencecah 20%.

“LRA Bukit Selambau, Nilai:  RM129.4 juta, Progress: 9.98%, Kontraktor: Widad Builders Sdn Bhd. Keduanya LRA Sungai Limau, Nilai: RM89.8 juta, Progress: 7.41%, Kontraktor: Widad Builders Sdn Bhd. Apakah tindakan oleh kerajaan negeri untuk mempercepatkan kadar kemajuan projek-projek ini,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Menurut beliau berkali-kali kebimbangan dibangkitkan terhadap keupayaan sesebuah syarikat apabila dilonggokkan dengan begitu banyak projek berkaitan bekalan air dan kebimbangan ini ada asasnya apabila memang terbukti kadar kemajuan projek adalah sangat perlahan dan dilihat akan merisikokan seluruh pelan pembangunan aset air negeri Kedah.

“Ia kerana boleh dikatakan setiap daerah di seluruh negeri Kedah akan ada kawasan-kawasan yang teruk menderita masalah bekalan air yang biasanya ialah kawasan yang berada di penghujung sistem agihan air ataupun di kawasan yang tinggi.

“Walaupun rata-rata penduduk sudah sedia maklum tentang masalah tersebut, ada pula yang telah pasrah dan menerima hakikat namun timbul pula masalah kedua, banyak penduduk yang tidak puas hati apabila lori agihan air yang dijanjikan oleh SADA tidak berjalan seperti yang disepakati. Apakah masalah sebenar yang menyebabkan SADA gagal menghantar lori-lori tangki mengikut jadual walaupun SAD sedia maklum masalah bekalan air yang dihadapi oleh penduduk?

“Jika SADA tidak mempunyai lori yang cukup ianya adalah alasan yang langsung  tidak munasabah kerana YAB Menteri Besar mengumumkan dengan bangganya bahawa telah SADA mengaut keuntungan berpuluh juta. Apalah gunanya SADA untung berpuluh juta jika ianya tidak digunakan untuk menangani masalah rakyat,” ujarnya.

Ujar beliau lagi, rakyat faham bagaimana Loji Rawatan Air akan menyelesaikan masalah bekalan air, tapi tindakan kerajaan negeri yang bersifat jangka pendek dan jangka sederhana juga adalah penting.

“Tak guna keuntungan berpuluh juta SADA diumumkan dengan megah oleh YAB MB akan tetapi ianya bukan untuk manfaat rakyat yang terpaksa menderita berhadapan dengan masalah air,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.