Bung Sifatkan Pelantikan Sebagai Satu Amanah Dan Tanggungjawab Besar Perkukuhkan UMNO Sabah

KOTA KINABALU, 23 Mac – Sesungguhnya pelantikan jawatan ini datang dengan satu tanggungjawab dan amanah yang besar.

Demikianlah ungkapan Datuk Seri Bung Moktar Radin selepas diumumkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dilantik semula sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, ketika mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang pertama selepas pemilihan 2023, semalam.

Beliau yang juga Ketua UMNO bahagian Kinabatangan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden dan kepimpinan UMNO Pusat atas kepercayaan menggalas tanggungjawab tersebut di samping melantik beberapa pemimpin UMNO Sabah membarisi barisan MKT UMNO untuk sesi 2023-2026.

“Sesungguhnya jawatan ini datang dengan tanggungjawab dan amanah yang tinggi bagi membantu memimpin parti bersama-sama Presiden, Timbalan Presiden dan Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau amanah serta tanggungjawab tersebut tidak akan membenihkan kejayaan kepada UMNO khusunya di Sabah, tanpa kerjasama serta sokongan dari pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat di negeri ini.

Sehubungan dengan itu Bung turut menyeru agar semua ahli UMNO bersatu sebagai sebuah keluarga besar serta saling bekerjasama bagi mendapatkan keyakinan rakyat kepada parti tersebut.

“Insya-Allah kepercayaan serta amanah yang diberikan ini akan digalas sepenuhnya dengan memberikan keutamaan untuk memperkukuhkan perpaduan dalam parti khususnya di Sabah untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri yang dijangka kurang dari dua tahun dari sekarang,” katanya.

Ujarnya setelah pemilihan parti baru-baru ini mungkin ada rasa kecewa bagi mereka yang tewas dalam pertandingan namun, telah tiba masa untuk semua bertaut kembali sebagai keluarga besar yang saling bahu membahu demi mengembalikan UMNO ke persada kepercayaan rakyat.

“Segala khilaf semasa kempen pemilihan, mari kita lupakan dan saling memaafkan. Era baru dalam UMNO mesti kita mulakan dengan semangat baru, prinsip serta perjuangan parti jangan kita abaikan jika kita mahu dilihat sebagai sebuah parti yang berwibawa.”

Menurut beliau lupakanlah masa pemilihan parti yang telah berlalu, yang menang tidak menang semua begitu juga yang kalah bukan kalah semua setiap ahli UMNO mempunyai tugas dan tanggungjawab tersendiri dalam parti.

“UMNO merupakan sebuah keluarga besar tidak perlu wujudkan sentimen ‘dia orang ini dan itu’, kita perlu bersatu padu selepas pemilihan baru-baru ini. Fokus dan tumpuan kita untuk memperkukuhkan jentera parti di semua peringkat agar tidak ada pihak memperlekahkan kewujudan UMNO yang turut menyumbangkan kepada pembentukan kerajaan negeri selepas PRN-16,” tambah Bung.

Selain Bung yang dikekalkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Ketua UMNO bahagian Tuaran, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang juga MKT UMNO turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.

Antara pemimpin UMNO Sabah yang turut dilantik ke jawatan MKT termasuklah Ketua UMNO bahagian Penampang, Datuk Mohd Asnol Datuk Ayub; Ketua UMNO bahagian Kimanis Datuk Mohd Alamin menjadi Ketua Sektretariat Kelab UMNO Luar Negara, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Hajah Siti Aminah Aching menjadi Ketua Sekretariat Pertanian Perladangan dan Komoditi, dan Datuk Yakub Khan menjadi Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Sabah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.