UMNO Akan Terus Mendukung Kerajaan Perpaduan, Komited Pastikan Keutuhan Negara

KUALA LUMPUR, 22 Mac – UMNO akan terus mendukung Kerajaan Perpaduan Malaysia dan komited untuk memastikan keutuhan kerjasama dalam kerajaan ini demi kestabilan negara.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan mesyuarat pertama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) hari ini selepas pemilihan parti selesai pada 18 Mac 2023 yang lalu.

“UMNO turut menzahirkan kebimbangan sentimen permainan kaum dan agama yang terus menular. Justeru menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas bagi membendung fenomena yang boleh merosakkan keharmonian negara.

“UMNO beriltizam Untuk membantu kerajaan melalui wakil-wakil parti dalam Kerajaan untuk menangani isu peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

“Di samping itu MKT juga mengambil maklum perjalanan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang telah pun menubuhkan Majlis Perundingan Pimpinan dan Jawatankuasa-jawatankuasa yang dianggotai wakil-wakil kesemua parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.”

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini berlangsung lancar di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.