‘Thai Hot Guy’: Cucu Tun Razak Kesal, Memalukan… Minta Pihak Berkuasa Siasat  

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Ketua UMNO Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Datuk Seri Najib hari ini menyatakan kekesalannya dan membantah keras pertunjukan ‘Thai Hot Guy’ yang dijadualkan pada 30 Mac 2023 ini di sebuah kelab bertempat di Ibu negara.

Beliau yang juga anak bekas mantan Perdana Menteri seterusnya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan keras kepada pihak penganjur agar perkara ini boleh dihalang dan dibanteras mengikut kaedah perundangan negara.

“Tular iklan promosi pertunjukan ‘Thai Hot Guy’ yang dijadualkan pada 30 Mac 2023 ini di sebuah kelab bertempat di Ibu negara. Saya membantah sekeras kerasnya pertunjukkan seperti ini tambahan di bulan Ramadhan yang kini menghampiri, di mana adalah lebih afdhal mempromosikan majlis majlis ilmu mahupun majlis yang mempunyai pengisian agama,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Beliau seterusnya menegaskan menggunakan nama datuknya Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai bahan promosi adalah perkara yang memalukan keluarga dan ianya amat tidak wajar sama sekali.

“Tambahan, menggunakan nama Tokda Allahyarham Tun Abdul Razak saya sebagai bahan mahupun artikel promosi adalah sangat memalukan keluarga besar saya. Ini adalah sangat sangat tidak wajar dan saya melihat ia satu penghinaan buat Allahyarham sendiri… kecewa dan sedih, itu yang bersarang dalam hati saya.

“Saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan keras kepada pihak penganjur agar perkara ini boleh dihalang dan dibenteras mengikut kaedah perundangan negara kita.

“Kita tidak sesekali bermaksud untuk menghalang mereka yang bukan beragama Islam untuk berhibur, namun perlu ada kewajaran dalam meluluskan hiburan seperti ini dalam kehidupan di negara yang berbilang agama serta bangsa,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.