Laporan Polis Tidak Hormat Sensitiviti Agama, Pemuda Kesal Penganjuran Acara Tidak Bermoral

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia meluahkan dukacita dengan penganjuran acara pertunjukan tidak bermoral yang dijadual diadakan pada 30 Mac ini.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh memaklumkan bahawa kepimpinan Pemuda seluruh negara akan membuat laporan polis pada hari ini bagi membatalkan program tersebut.

“Insya-Allah esok (hari ini) Pergerakan Pemuda UMNO seluruh Malaysia akan membuat laporan polis terhadap penganjuran aktiviti yang tidak bermoral ini.

“Jika tiada tindakan pembatalan dari pihak penganjur kami sendiri akan pergi dan membatalkan program tersebut.

“Kita tidak memerlukan orang yang tidak tahu menghormati sensitiviti sesama sendiri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dr Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin pada masa sama turut menyeru parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama berganding bahu bagi menentang perkara terkutuk tersebut.

“Saya menyeru semua NGO dan parti politik yang lain juga kita bersatu hati menentang perkara yang terkutuk ini. Ini negara kita, maka cara dan budaya kita!” tegas beliau.

Terdahulu pada semalam, sebuah akaun Facebook bernama KL NOW memuat naik hantaran mengenai program Thai Hot Guy.

Ianya difahamkan merupakan sebuah acara pertunjukan lelaki di Kuala Lumpur pada penghujung bulan ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.