Barisan Kepimpinan UMNO Angkat Sumpah Untuk Sesi 2023/2026

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Barisan kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengangkat sumpah jawatan bersama-sama Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, hari ini.

Lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia ini dibuat bagi sesi baharu iaitu 2023-2026, sebelum menandatangani dokumen ikrar tersebut, di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn.

Mesyuarat MKT ini adalah yang pertama dilaksana selepas Pemilihan UMNO berjalan dengan lancar membabitkan 187 bahagian di seluruh negara.

Pada Pemilihan UMNO yang berakhir Sabtu lalu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menang dalam jawatan Naib Presiden.

Seramai 25 calon disahkan memenangi jawatan ahli MKT UMNO bagi sesi 2023-2026.

Turut sama mengangkat sumpah untuk jawatan dilantik juga membabitkan Setiausaha Agung UMNO dan Ketua Penerangan UMNO.

Jawatan MKT diisi oleh Datuk Seri Dr Shamsul Annuar Nasarah yang mendapat 178 undi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (175) dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (167).

Ia diikuti Datuk Seri Ahmad Maslan yang mendapat 167 undi, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (160), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (152) dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (151).

Turut termasuk, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin (129), Datuk Azian Osman (124) dan Datuk Dr Shaik Hussein Mydin (118).

Untuk rekod, Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari dan berakhir pada 26 Februari 2023 lalu.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan MKT UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.