Kepimpinan Wanita, Pemuda Dan Puteri Ada Tanggungjawab Besar Perkuat UMNO – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan senario politik kini semakin dinamik dan memerlukan kepimpinan parti yang teguh dalam mendepani cabaran tersebut.

Perkara tersebut diharapkan beliau daripada kepimpinan Wanita dan sayap, Pergerakan Pemuda dan Puteri yang mendapat mandat baharu daripada akar umbi parti menerusi Pemilihan UMNO baru-baru ini.

“Hari ini (semalam) saya telah mengadakan pertemuan bersama Ketua Wanita, Ketua Pergerakan Pemuda, Ketua Pergerakan Puteri dan naib-naibnya setelah berakhirnya sesi pemilihan UMNO sesi 2023-2026.

“Saya menzahirkan ucapan tahniah kepada mereka yang akan memimpin organisasi Wanita, Pemuda dan Puteri ini bagi meneruskan legasi perjuangan menjunjung martabat agama, bangsa dan negara.

“Kita mempunyai tanggungjawab besar dalam memperkuat parti, walaupun kita sedang melalui senario politik yang mencabar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid juga pada masa sama mendambakan pasukan baharu ini untuk bekerja dengan sejujurnya demi mencari keredhaan Allah SWT.

Jelas beliau ianya penting bagi memastikan segala perjalanan yang diusahakan membabitkan perjuangan agama, bangsa dan negara dipermudahkan dengan sebaiknya.

“Bekerjalah dengan penuh dedikasi dan jalankan amanah yang telah diberikan dengan seikhlas hati untuk mencari keredhaan Allah SWT serta melaksanakan hasrat ahli parti di seluruh negara.

“Setiap tanggungjawab ini pasti datangnya dengan ujian dan cabaran yang berbeza. Tetapi sekiranya ujian ini dilakukan bersama, Insya-Allah kita akan menghasilkan sebuah output yang akan memberikan kelebihan bukan sahaja kepada ahli parti, tetapi rakyat secara keseluruhannya,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.