Gabungan Kepimpinan Lama Baharu Mampu Lonjakkan Obor Perjuangan UMNO – Norshida

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Gabungan pelbagai latar belakang serta kepimpinan baharu dan lama dalam UMNO hari ini diharap mampu membawa obor perjuangan parti bukan sahaja untuk berdepan cabaran malah mampu meningkatkan lagi tahap keyakinan rakyat terhadap parti.

Sambil mengucapkan tahniah kepada barisan yang telah diberikan kepercayaan oleh akar umbi untuk menerajui kepimpinan parti pelbagai peringkat, Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berpandangan inilah masanya masing-masing bergabung tenaga dan usaha untuk melonjakkan kemampuan parti ke tahap yang diyakini.

Menurut beliau pemilihan telah pun berakhir baik di peringkat Wanita serta sayap yang lain, malah di peringkat bahagian serta tertinggi parti yang melabuhkan tirainya Sabtu lalu mampu menjadi pemangkin sebenar kepada keupayaan parti berdepan cabaran hari ini.

“Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh barisan kepimpinan yang telah mendapat kepercayaan baik di peringkat Naib Presiden serta barisan Majlis Kerja Tertinggi dan pimpinan bahagian. Saya penuh yakin kombinasi serta kemampuan masing-masing untuk bersama seluruh ahli dan pelbagai peringkat kepimpinan untuk membawa harapan parti.

“Begitu jugalah di peringkat kepimpinan Wanita … Tahniah sekali lagi kepada Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta seluruh kepimpinan dan barisan sayap Pemuda dan Puteri. Marilah kita sama-sama mengorak langkah ke depan dengan satu hati,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Bagi beliau adat pertandingan ada yang menang dan ada yang kalah, namun ianya bukanlah menjadi batu penghalang untuk kita bergerak dalam satu pasukan malah turut sama membawa obor UMNO sebuah perjuangan.

Tambahnya perjuangan parti perlu diteruskan dan diperkemaskan sebaiknya apatah lagi parti akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa buah negeri kelak.

“Marilah kita sambung apa yang telah dilaksanakan sebelum ini. Obor UMNO sebuah perjuangan perlu bersemarak dan sama-sama kita menjulang harapan akar umbi untuk melihat UMNO terus mendapat kepercayaan rakyat pelbagai peringkat, insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.