Dakwa Ada Fail Salah Guna Kuasa Pemimpin Kerajaan Perpaduan, Kenyataan Hamzah Harus Disiasat – Veteran UMNO

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yusoff Latiff menggesa pihak berkuasa agar menyiasat kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mendakwa bahawa beliau mempunyai fail-fail salah guna kuasa para pemimpin Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, kenyataan Hamzah merupakan perkara yang perlu diambil perhatian dan disiasat kerana dakwaan seumpama itu adalah serius serta membabitkan keselamatan negara.

“Hamzah yang juga Setiausaha Agong PPBM dilaporkan telah mengeluarkan satu dakwaan bahawa beliau mempunyai fail-fail kes-kes penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh para pemimpin kerajaan sekarang.

“Beliau mendakwa telah meneliti fail-fail tersebut dan boleh mendedahkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh mereka jika beliau mahu berbuat demikian. Katanya semasa beliau menjawat Menteri Dalam Negeri beliau mempunyai banyak fail yang melibatkan kesalahan oleh para pemimpin yang kini berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Bagi saya kenyataan Hamzah yang kurang cerdik ini mengundang perkara yang perlu diambil perhatian dan disiasat. Ini kerana dakwaan seumpama itu adalah serius serta membabitkan keselamatan negara,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Ujar Mohd Yusoff lagi, sebagai Menteri Dalam Negeri, Hamzah tidak sepatutnya melindungi penjenayah dan beliau nampak seperti tidak melaksanakan amanah dengan sepatutnya.

“Sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau tidak seharusnya melindungi penjenayah malah semua fail-fail berkenaan sepatutnya adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa seperti Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Hamzah nampaknya tidak melaksanakan amanah sebagai Menteri Kabinet seperti yang di lafazkan dalam Sumpah Khidmat di hadapan Yang di-Pertuan Agong. Maka Hamzah harus disiasat kerana kesalahan itu.

“Sehubungan itu pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan sama ada dakwaan Hamzah itu adalah benar atau ia adalah dakwaan palsu,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan bahawa pihak yang bersalah perlulah dikenakan tindakan sewajarnya sekiranya dakwaan itu benar.

“Jika dakwaan itu benar mereka yang melakukan kesalahan terbabit tidak harus dibiarkan bebas sebaliknya jika dakwaan itu palsu Hamzah harus dikenakan tindakan memutar-belit fail kerajaan dan didakwa di bawah kesalahan Akta Rahsia Rasmi.

“Hamzah dalam Parlimen baru-baru ini mengesa kerajaan supaya tidak mencari kesalahan para pemimpin Perikatan Nasional (PN) kerana beliau juga boleh melakukan perkara yang sama memandangkan beliau menpunyai fail-fail pemimpin-pemimpin tertentu semasa menjawat sebagai Menteri Dalam Negeri,” katanya lagi.

Pada minggu lalu media melaporkan bahawa Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut memberitahu beliau mempunyai fail berkaitan pemimpin parti dalam kerajaan memandangkan dia pernah menjadi Menteri Dalam Negeri.

Hamzah mendedahkan perkara itu ketika mengulas berkenaan apa yang didakwa sebagai pendakwaan politik terhadap pembangkang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.