Banjir: Seramai 1,520 Penjawat Awam Ditugaskan Ke Batu Pahat

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Seramai 1,520 orang penjawat awam seluruh negara mewakili semua Kementerian Jabatan dan Agensi Kerajaan telah ditugaskan untuk bantuan sukarelawan pasca banjir yang dikhususkan ke kawasan-kawasan terjejas di sekitar daerah Batu Pahat.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi Majlis Pelepasan (Flag Off) Pasukan Sukarelawan Perkhidmatan Awam Pasca Banjir ke negeri Johor di Dataran Bulatan Putra Perdana, Putrajaya, pagi tadi.

“Bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini melancarkan Majlis Pelepasan (Flag Off) Pasukan Sukarelawan Perkhidmatan Awam Pasca Banjir ke negeri Johor di Dataran Bulatan Putra Perdana, Putrajaya.

“Pasukan Sukarelawan Perkhidmatan Awam (PSPA) membariskan seramai 1,520 penjawat awam daripada seluruh negara mewakili semua Kementerian/Jabatan dan Agensi Kerajaan dengan tumpuan bantuan sukarelawan pasca banjir yang dikhususkan ke kawasan-kawasan yang terjejas di sekitar daerah Batu Pahat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut Ahmad Zahid, sebanyak 153 buah kenderaan digerakkan untuk operasi tersebut dan beliau turut berharap agar segala urusan dipermudahkan.

“Sebanyak 153 buah kenderaan yang terdiri daripada 26 buah bas/ coaster, 16 buah van, lapan buah lori, 64 buah kenderaan pacuan empat roda dan 39 buah kereta digerakkan dalam operasi bantuan kali ini.

“Saya ingin ucapkan terima kasih buat semua yang terlibat dan saya doakan agar dipermudahkan segala urusan buat semua,” katanya lagi.

Mangsa banjir di Batu Pahat terus menurun kepada 6,740 orang daripada 1,923 keluarga, setakat jam 8 pagi ini, berbanding 7,972 orang (2,299 keluarga) pada malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, kesemua mereka masih berlindung 43 pusat pemindahan sementara (PPS). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.