Pemilihan UMNO Simbolik Perpaduan Akar Umbi, Dukung Kerajaan Demi Perkasa Rakyat Dan Negara – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kesyukuran dengan keyakinan ahli akar umbi parti yang berterusan mendukung parti keramat ini dalam agenda memperkasa rakyat dan negara.

Katanya ini dibuktikan melalui Pemilihan UMNO sesi 2023/2026 apabila keputusannya membawa simbolik perpaduan dalam kalangan perwakilan termasuk membabitkan Kerajaan Perpaduan.

“…daripada keputusan pemilihan sayap UMNO ditambah pemilihan di peringkat bahagian dan nasional jelas melihatkan bahawa telahan untuk gugat Kerajaan Perpaduan yang ada adalah sesuatu yang boleh dielakkan.

“Manifestasi ini cukup jelas kerana kita lihat walaupun ada usaha-usaha untuk menggugat kerajaan yang ada sekarang ia jelas ditolak perwakilan kerana terdapat 160,000 perwakilan yang telah membuat pilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan sebentar tadi selepas mesyuarat kedua Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn, di sini malam tadi.

Mesyuarat kedua Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri oleh kepimpinan utama parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kepimpinan baharu UMNO di peringkat tertinggi sentiasa rasional dan akan berterusan menyokong kerajaan pada hari ini demi manfaat kepada rakyat.

“Ini terlihat daripada bahawa kesatupaduan pemilihan terhadap kepimpinan UMNO bahawa dokongan daripada akar umbi jelas untuk kepimpinan di peringkat nasional memberikan dokongan sepenuhnya demi keutuhan kerajaan perpaduan yang ada sekarang ini.

“Jelas akar umbi mahu kerajaan yang ada di bawah kepimpinan Perdana Menteri ini diperkukuhkan dan kita amat yakin dengan dokongan daripada rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) serta Sabah dan Sarawak bagi mendukung Kerajaan Perpaduan.

“Maka kombinasi parti yang berada dalam kepimpinan Kerajaan Perpaduan dan diperkuatkan dengan kepimpinan baharu UMNO,” ujar beliau yang juga Pengerusi BN.

Terdahulu, pemilihan UMNO yang berakhir Sabtu lalu menyaksikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai muka baharu dipilih sebagai Naib Presiden.

Manakala penyandang jawatan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Menteri Pengajian Tinggi dan Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempertahankan kedudukannya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.