Kemeriahan Pemilihan Bukti UMNO Masih Relevan, Tolak Dakwaan Malap – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 20 Mac – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan pemilihan UMNO yang berlangsung serentak di seluruh negara Sabtu lepas sebagai ‘kemeriahan demokrasi’ apabila ramai yang menawarkan diri bertanding walaupun parti dikatakan mengalami kemalapan.

Menurut beliau yang menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, kemeriahan ini cukup menjelaskan yang UMNO masih relevan walaupun tanggapan sesetengah pihak bahawa parti ini khususnya di Sabah akan terkubur ekoran tindakan segelintir yang berkepentingan menyertai parti lain.

“Pelbagai andaian dan presepsi pihak tertentu menganggap UMNO kini memasuki zaman malap, namun ramai yang menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan kali ini termasuk golongan muda yang sebilangannya telah dinobatkan sebagai Ketua Bahagian. Ini turut menjelaskan proses meremajakan parti dan penerimaan anak muda kepada UMNO masih relevan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di sini selepas persidangan UMNO Bahagian Kinabatangan di Dewan Masyakat Sandakan baru-baru ini.

Mengulas kejayaan beliau mempertahankan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi sesi 2023-2026 dan berada pada kedudukan terbaik antara yang bertanding iaitu di tempat kelima, Bung berkata sokongan serta kepercayaan dari perwakilan di seluruh negara datang dengan tanggungjawab dan amanah yang tinggi.

Selain Bung Moktar, turut mempertahankan jawatan MKT ialah Ketua Wanita UMNO Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Ketua UMNO Tuaran, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Mohd Raffi Datuk Alli Hassan yang mewakili UMNO Labuan.

Dalam pada itu Bung turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua perwakilan bahagian seluruh Malaysia kerana memberikan sokongan serta kepercayaan buat dirinya.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua jentera yang berkempen untuk saya serta akar umbi yang telah bekerja keras sehingga mencapai kemenangan ini.

“Sesungguhnya jawatan ini datang dengan tanggungjawab dan amanah yang tinggi bagi membantu dan memimpin parti bersama-sama Presiden, Timbalan Presiden dan ahli-ahli MKT, serta yang paling penting bagi saya adalah membawa suara akar umbi ke peringkat kepimpinan tertinggi,” katanya.

Bung juga meminta ahli-ahli UMNO khususnya selepas pemilihan ini agar memberikan keutamaan untuk mengembalikan semula perpaduan dalam parti.

“Segala khilaf semasa kempen pemilihan, mari kita lupakan dan saling maafkan. Era baharu dalam UMNO mesti kita mulakan dengan semangat baharu dan iltizam baharu untuk kembali memperkasakan UMNO ke tempat sewajarnya,” katanya.

Ketika diajukan soalan tentang beberapa kekecohan berlaku di beberapa bahagian semasa pemilihan kali ini antaranya melibatkan pengurusan pengundian dengan jumlah mengundi melebihi dari daftar kehadiran, ahli yang tidak layak mengundi, pergaduhan dan sebagainya Bung berkata UMNO Sabah menerima laporan tersebut.

“Kita meminta agar aduan dibuat kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Pusat, pihak mereka akan meneliti setiap aduan yang dikemukakan dan akan menyiasat, sekiranya berlaku pelanggaran perlembagaan dan peraturan mesyuarat maka tidak mustahil persidangan akan dibuat semula,” jelas Bung lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.