Amanah, Kepercayaan Akan Dilunaskan Sebaiknya, Beri Keutamaan Perkukuh Perpaduan UMNO – Khaled

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meluahkan penghargaan beliau atas kepercayaan yang diberikan oleh akar umbi parti yang sekali lagi memilih beliau memegang jawatan berkenaan.

Katanya, amanah tersebut akan dilunaskan dengan terbaik dengan memberi keutamaan kepada mengembalikan semula perpaduan dalam parti.

la adalah suatu pertanggungjawaban dan bukan sama sekali kemegahan. Masa berpolitik telah berakhir.

“Telah tiba masa untuk semua bertaut kembali sebagai keluarga besar yang saling bahu membahu demi mengembalikan UMNO ke persada kepercayaan bangsa Melayu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi dan Ahli Parlimen Kota Tinggi menerusi hantaran terdahulu turut mengambil kesempatan memohon kemaafan sekiranya berlaku kekhilafan sepanjang berkempen sebelum ini.

“Bersempena Ramadan yang menjelang sangatlah elok untuk kita kembali mengukuhkan persahabatan kita demi UMNO, bangsa dan Islam.

“Segala khilaf semasa kempen pemilihan, mari kita lupakan dan saling maafkan. Era baru dalam UMNO mesti kita mulakan dengan semangat Ramadhan yang menyeru untuk kita menyucikan diri dan kembali ke jalan rohani.

“Insya-Allah kita mulakan dengan mengikhlaskan diri untuk memulih, merawat dan membangunkan semula UMNO,” ujar beliau.

Terdahulu, Pemilihan UMNO yang berakhir Ahad lalu menyaksikan Mohamed Khaled mempertahankan kedudukannya sebagai Naib Presiden.

Manakala Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani Johari dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai muka baharu dipilih sebagai menjawat jawatan berkenaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.