Dinamika Pemilihan UMNO, Muka Baharu Antara Kepimpinan Parti Peringkat Bahagian – Shahrir

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Pemilihan UMNO sesi 2023/2026 ini memberikan signifikannya yang tersendiri kepada landskap politik UMNO apabila muka baharu terus mendapat tempat bagi kepimpinan akar umbi parti, kata Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU).

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad berkata ini kerana setakat tengah hari tadi 54 orang muka baharu atau 29 peratus diangkat sebagai Ketua bahagian.

“Perubahan dari segi kepimpinan di peringkat bahagian terdapat sehingga 54 muka baharu, ini menunjukkan bahawa begitu dinamiknya perubahan dalam UMNO apabila kita mengadakan pemilihan keseluruhannya 29 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan sebentar tadi di Auditorium Menara Dato Onn bagi perkembangan terkini keputusan Pemilihan UMNO 2023.

Menjelaskan lebih lanjut beliau berkata, Johor mencatatkan angka paling tinggi dimenangi oleh muka baharu.

“… dan juga bukan berlaku hanya satu negeri tetapi secara keseluruhan enam muka baharu iaitu Wilayah Persekutuan, Melaka (tiga), Kedah (lima), Terengganu (tiga), Penang (dua), Kelantan (lima), Negeri Sembilan (dua), Pahang (lima), Johor (10), Perak (empat), Selangor (enam), Perlis (tiga) namun Sabah belum pasti,” katanya.

Terdahulu pada semalam, Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh melakar kejutan apabila berjaya memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Jasin dalam pemilihan parti sesi 2023-2026.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berjaya meraih 340 undi, menewaskan tiga calon lain iaitu penyandang Datuk Hassan Abdul Rahman, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Zaidi Attan dan Datuk Yusof Osman.

Manakala di Perlis, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya mencatatkan sejarah apabila menewaskan Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar.

Bahagian Tangga Batu turut menyaksikan kejutan apabila penyandang Ketua UMNO Bahagian yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, tewas tipis dengan empat undi kepada Datuk Rais Yasin.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, melakar kemenangan memperoleh 282 undi berbanding Mohamad Ali yang mendapat 278 undi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.