Ahmad Zahid Puas Hati Proses Pemilihan UMNO

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpuas hati dengan perjalanan Pemilihan UMNO 2023 yang berlangsung hari ini di 189 bahagian seluruh negara.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu berkata sukar untuk memuaskan hati semua pihak memandangkan terdapat 160,000 perwakilan yang terlibat dalam pemilihan kali ini.

“Saya berpuas hati tetapi perlu penelitian dan kita mesti berlaku adil pada setiap calon (dan) perwakilan yang hadir kerana jumlah semuanya ialah 160,000… tidak mustahil kalau ada yang tak puas hati.

“… itu semua (ketidakpuasan hati) akan ditangani oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) yang diketuai oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad,” katanya kepada pemberita di bangunan UMNO malam tadi.

Mengulas kekecohan yang tercetus di beberapa bahagian, Ahmad Zahid berkata beliau ada menerima laporan mengenai perkara itu dan telah menonton insiden tersebut serta berbincang dengan Shahrir untuk membatalkan atau mengadakan pemilihan semula di lokasi terbabit, jika perlu.

Beliau yakin JPU mampu menjalankan siasatan dan meneliti sekiranya terdapat keperluan untuk merujuk insiden itu kepada Lembaga Disiplin UMNO.

“Mana-mana parti politik ada berlaku begitu. Bukan ertinya kita menyokong perkara itu tetapi saya yakin dengan JPU.

“Setakat ini, tak lebih lima peratus kes-kes berat atau ringan. Aduan-aduan yang kita terima itu kita jumpa dengan pengadu serta pihak yang diadu dan terdapat aduan telah ditarik dan mereka terima keputusan yang dibuat oleh badan perwakilan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil memaklumkan keputusan penuh bagi jawatan Naib Presiden, Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap mungkin diketahui pada awal pagi ini.

Begitu juga dengan keputusan penuh bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.