Pemilihan UMNO 2023: Hari Ini Penentu Barisan Kepimpinan Masa Hadapan Parti

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Hari ini merupakan penentu kepada barisan kepimpinan masa hadapan baharu UMNO apabila Mesyuarat Perwakilan yang berlangsung turut menyaksikan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Berlangsung serentak di seluruh negara, ianya akan dipantau oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) yang dilantik bagi memainkan peranan dalam memastikan perjalanan pemilihan kali ini berjalan lancar serta mengikut lunas-lunas etika seperti yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO.

Bermula dengan mesyuarat bahagian seperti kebiasaan, seterusnya perwakilan mengambil tempat dalam melakukan pengundian bagi peringkat bahagian dan MKT.

Persediaan bagi menghadapi mesyuarat bahagian dan pengundian telah bermula seawal minggu lalu apabila berakhirnya Pemilihan Wanita serta Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO yang telah berlangsung pada 11 Mac.

Untuk rekod sepanjang tempoh berkempen, majlis bagi memperkenalkan calon-calon di peringkat Pusat juga diadakan di seluruh negara yang bermula di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Kedah/Perlis, Perak dan Sabah.

Ianya kemudian terus diadakan di Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan berakhir di Terengganu pada Rabu.

Pengenalan tersebut dianggap sebagai ruang bagi para calon berkempen dengan kesemuanya terikat kepada tataetika yang telah digariskan dalam Perlembagaan UMNO dan JPU.

Pemilihan kali ini menyaksikan lapan calon menawarkan diri sebagai Naib Presiden, termasuk Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang akan mempertahankan jawatan.

Manakala calon lain ialah Datuk Seri Azalina Othman Said, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Mohd Yusof Musa@Jamaludin.

Manakala bagi calon Ahli Majlis Tertinggi (MT), seramai 95 orang layak bertanding antaranya Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Terdahulu pada Sabtu lepas menyaksikan pemilihan di peringkat Wanita, Pergerakan Pemuda Dan Puteri UMNO masing-masing bagi peringkat Pusat dan bahagian yang menyaksikan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mempertahankan jawatan sebagai nombor satu dalam Wanita serta Datuk Norliza Abdul Rahim sebagai naib.

Manakala Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dimenangi Mohamad Akmal Salleh serta Naib, Mohd Hairi Mad Shah. Bagi Pergerakan Puteri pula, dimenangi Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan jawatan Naib Ketua, Siti Sokhleha Nordin. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.