Adun BN, UMNO Sebahagian Kerajaan Negeri Bukti PH Selangor Terbuka – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 18 Mac – Penerimaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebahagian kerajaan Selangor, menunjukkan sifat keterbukaan Pakatan Harapan (PH) Selangor, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata kenyataan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari itu, selaras dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Ini (pengumuman itu) selaras dengan keberadaan kita dalam Kerajaan Perpaduan sekarang dan sifat keterbukaan PH Selangor amat dialu-alukan untuk pembentukan kerajaan lebih padu di Selangor, termasuk pembentukan kerajaan negeri Selangor yang melibatkan ahli-ahli DUN BN, yang sekarang ini satu realiti baharu,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Pemilihan UMNO Bahagian Bagan Datuk, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Amirudin pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam bahawa, ADUN UMNO dan BN kini sebahagian daripada kerajaan Selangor sehingga tamat tempoh penggal pentadbiran kerajaan negeri, yang akan berakhir Jun ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia akan mengadakan mesyuarat kedua esok, bagi tujuan penyelarasan melibatkan parti dalam kerajaan yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita akan mengambil beberapa keputusan terhadap langkah menghadapi PRN (pilihan raya negeri) di enam negeri dan menyusun beberapa langkah taktikal dan strategi, untuk kita lakukan operasi politik dalam tempoh sederhana dan jangka panjang, bagi menghadapi PRU (pilihan raya umum),” katanya.

Pada 25 Feb, Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tiga jawatankuasa di bawah Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu, akan membentangkan laporan peringkat pertama perundingan antara semua parti politik dalam kerajaan pada 19 Mac (esok), bagi menghadapi PRN di enam negeri.

Tiga jawatankuasa berkenaan iaitu Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik, perlu menyiapkan laporan masing-masing sebelum tarikh tersebut.

Pada 7 Feb, Anwar semasa mesyuarat pertama mesyuarat tersebut mengumumkan penubuhan tiga jawatankuasa tersebut, bagi merangka strategi menghadapi PRN di enam negeri iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Kedah. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.