PRN: Dekati Pengundi Dengan Kaedah Digital – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Keserasian jentera parti, pembahagian kerusi serta kaedah komunikasi dengan pengundi adalah antara perkara yang perlu diteliti oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersama rakan politiknya dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi pilihan raya di enam negeri.

Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebagai contoh, kaedah konvensional untuk mendekati pengundi seperti kempen bersemuka tidak lagi boleh dijadikan keutamaan.

“Kita mesti berubah kepada penggunaan sistem digital, bukan lagi analog… kalau kita tidak berubah maka kita akan terus berada di kepompong lama.

“Tetapi saya yakin apabila kita terpukul dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15, kita akan berubah dan kita telah mula berubah. Saya bagitahu Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri supaya kita belajar daripada kesilapan parti lain juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program bual bicara UMNO Memilih 2022-2026: Inilah Rumah Kita menerusi siaran langsung Facebook NRChannelTV malam tadi.

Program bual bicara itu diadakan sempena pelancaran wajah baharu NRChannelTV iaitu saluran televisyen dalam talian yang dirasmikan oleh Ahmad Zahid.

Beliau berkata NRchannelTV adalah antara saluran yang tidak pernah ketinggalan dalam mengikuti perkembangan komunikasi dengan menyeimbangkan antara kandungan dan kemudahan teknologi ketika ini.

Ahmad Zahid berkata walaupun saluran konvensional juga penting, orang ramai telah mula memilih untuk terus mengikuti dan menonton kandungan televisyen dalam talian dan perkara itu tidak dapat dielak kerana ia satu gelombang yang mungkin turut berubah pada masa akan datang.

“Syabas dan tahniah kepada NRchannelTV sempena perasmian studio baharu mereka. Saya mengharapkan jumlah penontonnya bertambah, tentu sekali kerana kandungannya berbeza daripada mana-mana saluran televisyen yang lain,” katanya kepada pemberita.

NRChannelTV ialah saluran alternatif media sosial yang bermula pada Disember 2020 dengan melaporkan isu terkini berkaitan dunia politik dan perniagaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.