Pemilihan UMNO Proses Demokrasi, Jangan Jadikan Asbab Perpecahan – Suraya Yaacob

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Pemilihan UMNO merupakan sebuah proses demokrasi dan tidak sepatutnya dijadikan sebagai asbab kepada perpecahan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Suraya Yaacob berkata, pemilihan ini adalah proses untuk memilih kepimpinan terbaik bagi meneruskan agenda perjuangan parti.

“Pemilihan ini bukan untuk memecahbelahkan sebaliknya sebuah proses demokrasi. Tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk kita berpecah dan kemudiannya akan menyusahkan parti serta kepimpinan selepas ini.

“Kita tahu pemilihan ini adalah proses untuk memilih pemimpin terbaik diantara yang baik. Saya telah melalui proses ini selama 20 tahun dan ia akan membawa kebaikan kepada parti kerana mempunyai proses yang sangat telus.

“Seperti Majlis Pengenalan Calon, kita tidak meraih undi secara sembunyi-sembunyi. Ini menunjukkan bahawa UMNO mempunyai calon dan ahli yang matang,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Suraya, sudah semestinya semua pihak menantikan apakah perancangan yang bakal dilakukan selepas jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO dibentuk minggu lalu.

“Pertama, saya nak ucapkan tahniah kepada mereka yang menang jawatan sayap-sayap ini. Ianya merupakan jawatankuasa yang akan membawa dan membina kembali UMNO dimata rakyat.

“Pastinya semua orang sedang menantikan apakah perancangan dan bagaimana mereka ingin bergerak ke hadapan, merentasi tiga tahun ataupun satu penggal yang akan datang.

“Jadi, saya mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan semangat yang tinggi untuk menerajui sayap-sayap serta jawatankuasa sayap baharu ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau yang juga calon MKT bernombor 95 pada musim pemilihan kali ini turut menyeru para perwakilan memilih calon terbaik demi masa depan UMNO.

“Saya menyeru kepada semua perwakilan di setiap peringkat agar dapat menggunakan akal dan hati mereka dalam memilih pemimpin. Ini bukan sahaja pemimpin di peringkat bahagian yang mereka perlu tilik dan lihat tetapi di peringkat tertinggi juga.

“Kumpulan ini yang akan mencorakkan dan memberi semangat untuk bina semula UMNO dalam satu penggal akan datang,” katanya lagi – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.