UMNO Tetap Subur Dengan Semangat Perjuangan, Parti Akar Umbi – Puad

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan bahawa UMNO tetap subur dengan semangat perjuangan dan mendukung demokrasi.

Justeru katanya, tidak timbul persoalan apabila jawatan nombor satu dan nombor dua dalam parti tidak dipertandingkan maka kononnya dianggap seolah-olah tidak ada demokrasi.

“Sebenarnya demokrasi bukan setakat subur tetapi semakin subur sekarang ini di dalam UMNO. Walaupun UMNO kalah teruk dalam pilihan raya baru-baru ini tetapi ia semakin membakar semangat ahli untuk bangkit dan inilah yang dibuktikan melalui suasana pemilihan kali ini,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang turut mencalonkan diri dalam Pemilihan UMNO sesi 2023/2026 bagi jawatan MKT dengan nombor 16 menegaskan bahawa UMNO adalah parti perjuangan yang didukung oleh ahli-ahli setia dari serata akar umbi.

“UMNO adalah parti perjuangan, UMNO lahir kerana perjuangan dan UMNO terus didukung oleh pejuang-pejuang yang setia akan perjuangannya. Maka sebab itulah UMNO tak boleh dikuburkan ataupun ditalkinkan oleh sesiapa kerana ia adalah parti akar umbi.

“Percayalah UMNO akan bangkit, ini adalah tempoh pemulihan maka kita gunakan tempoh pemulihan maksimum ini untuk sama-sama berjuang bagi memastikan UMNO kembali relevan dan diterima oleh rakyat terutamanya di Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-16,” katanya.

Terdahulu beliau turut sama hadir dalam Majlis Pengenalan calon-calon pemilihan UMNO peringkat pusat yang telah diadakan di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Kedah/Perlis, Perak, Sabah dan Selangor.

“Saya ini dah kali yang keempat bertanding MKT namun saya rasa ini adalah pemilihan parti yang paling meriah sepanjang pengalaman saya bertanding di peringkat MKT.

“Setakat ini saya dah pergi semua negeri yang mengadakan majlis pengenalan calon ini dan kehadiran adalah luar biasa malah kebanyakan tempat, dewan penuh, ada yang tak boleh masuk ke dalam dewan.

“Jadi pada saya minat yang tinggi di kalangan ahli untuk bertanding dan juga untuk hadir memberikan sokongan kepada calon-calon yang mereka nak pilih menunjukkan bahawa UMNO tetap subur dengan semangat perjuangan,” katanya lagi.

Pemilihan sayap UMNO itu telah berlangsung pada 11 Mac ketika Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda serta Puteri Bahagian, yang diadakan serentak di seluruh negara.

Pada tarikh berkenaan, turut diadakan Pemilihan EXCO Wanita, Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO dijadual berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.