Mentadbir Negeri Tak Boleh ‘Syok Sendiri’, Norsabrina Minta Kerajaan Kedah ‘Jangan Kalut Menghebah’

ALOR SETAR, 16 Mac – Kerajaan Negeri Kedah diminta untuk bersikap lebih proaktif dalam usaha memastikan negeri terbabit lebih maju dan jauh ke hadapan memandangkan pelbagai potensi yang dimiliki gagal diaplkasi sebaiknya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, realitinya begitu banyak potensi yang Kedah miliki namun usaha memaju, memacu dan menggilap potensi negeri memerlukan tindakan, pemikiran, perancangan yang sistematik iaitu bukan secara wewenang bertujuan populis atau dilaksana mengikut selera hati.

“Dalam amalan Federalisme Malaysia kuasa persekutuan mengatasi kuasa negeri. Kita boleh berbalah ideologi dan berbeza parti namun jika keharmonian hubungan tidak dimeterai akhirnya negeri yang rugi.

“Lantas sebarang projek raksasa bertaraf mega hendaknya dan seeloknya dijalinkan pendekatan musyawarah dengan ‘central agencies’ agar proses, kelulusan dan pelaksanaanya mengikut jajaran yang betul. Guna saluran rasmi yang betul bukan saluran media popular yang tidak dapat merungkaikan kemelut tetapi menambahkan lagi bara polemik dan masalah.

“Jangan kita ‘kalut menghebah’ namun ditengah jalan projek menemui jalan buntu dan longlai lemah. Elakkan amalan politik vendetta atau usaha mencetuskan kontroversi bagi menunjukkan keheroan kita demi mencapai ‘political mileage’ di peringkat negeri namun kesudahannya ibarat menang sorak, pembangunan gagal dirungkai, kemajuan tidak tercapai,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian membahaskan usul menjunjung kasih sempena Mesyuarat Pertama, Penggal ke-6 Sidang DUN Kedah Ke-14, semalam.

Ujar Norsabrina, mengurus negeri tidak boleh syok sendiri apatah lagi Kedah adalah negeri yang cukup kaya dari pelbagai segi dan pelaburan yang disebut meningkat naik perlu diarahkan untuk berada di posisi yang sesuai mengikut sektoral.

“Terlajak ‘claim’ atau riuh sekampung tanpa dibuktikan ‘visibility’ dan keberhasilan outputnya. Pembangunan hasil idealisme dan plan tindakan sistematik bermula pimpinan terdahulu perlulah dikhususnya bagi tujuan pelaburan berimpak dan berteknologi tinggi.

“Apa yang Kedah tidak ada, semuanya pakej lengkap, dari makanan, kuih muih, lanskap, alap semula jadi, tasik, gunung ganang, hutan simpan, pantai, pulau, gua, terusan, laut yang boleh dijenamakan, diperkenalkan dan diserasikan bagi menjadi tarikan pelancongan dan menghasilkan sumber pendapatan negeri.

“Namun, jelas aspek promosi, publisiti, penjenamaan, pemasaran, kebersihan, kualiti produk yang banyak itu masih kurang diberikan fokus perhatian. Sehinggakan jika pelancong dari tengah atau selatan semenanjung mereka sekadar jadikan Kedah negeri lintasan sahaja kemudian terus ke sempadan berkonvoi atau melancong di negara jiran.”

Tambahnya lagi, sekalipun Langkawi sudah ‘established’ namun produk pelancongan di Tanah Besar dan Siganature dan identiti Kedah masih gagal menawan hati warga Malaysia.

“Masih tidak jelas dan agak kabur. Perlukan perhatian dan penstrukturan dan dinamika dalam tindakan bagi memajukannya dari Kerajaan Negeri.

“Dunia sudah menuju era digitalisasi sepenuhnya. Kelajuan dan kepantasan teknologi komunikasi, cara berurusan, gaya hidup, usaha niaga, pendidikan telah mengalami perubahan pesat sejak dua dekad yang lalu.

“Lantaran itu ‘digitalisation of society’ dalam konteks Kedah perlu direncana dengan menyeluruh. Ianya bukan soal urusan ‘cashless’ di pejabat rasmi kerajaan kerana era kini sekadar perlu membawa ‘hand phone’ dan dengan perisian ‘e-wallet’ pembayaran dan jual beli serta transaksi boleh dijalankan. Medium digital dan wadahnya cukup signifikan jika bijak memanfaatkanya sama seperti mana medium media sosial,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.