Bukan Sekadar Bertukar Ganti Pemimpin, Pemilihan Medan Mantapkan Parti – Khaled

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpandangan Pemilihan UMNO bukan sekadar pertukaran kepimpinan namun memberi signifikan tersendiri kepada parti.

Katanya ini termasuk membawa UMNO ke arah pengukuhan bagi memastikan aspirasi perjuangan parti berterusan didukung.

“Pemilihan kali ini tidak boleh dilihat sebagai hanya suatu lagi pemilihan. Bukan sekadar menukar ganti pemimpin.

“… ia harus dihayati sebagai peluang untuk menguatkan parti. Menampilkan barisan yang hanya mewakili UMNO dan bukan kelompok, sosok dan pribadi tertentu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang turut mempertahan jawatan tersebut pada Pemilihan kali ini turut berkata amat penting untuk akar umbi parti memilih pemimpin yang kompeten dalam melaksakan gerak kerja berpasukan terutama bersama kepimpinan tertinggi.

“Sangat penting untuk kita memilih kalangan yang boleh bekerja dengan Presiden dan Timbalan Presiden.

“Memilih pemimpin yang boleh berfikir dan bertindak sebagai pasukan dengan misi dan iltizam yang selari.

“Pemimpin yang mengutamakan kerja nyata dan sumbangan. Semoga yang menang nanti ialah UMNO, insya-Allah,” ujar beliau.

Terdahulu, Sabtu lalu telah berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian serta pemilihan jawatankuasanya bersama pemilihan di peringkat pusat.

Pemilihan UMNO dijadual berakhir pada Sabtu ini, dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.