Wujudkan KPI Nilai Pemimpin Parti… Kembalikan Kegemilangan UMNO – Ahmad Zahid

KOTA BHARU, 15 Mac – Untuk memberikan semula kemenangan kepada UMNO, Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar petunjuk prestasi utama (KPI) diletakkan bagi menilai pemimpin-pemimpin parti.

Ujarnya, penilaian tersebut akan dilakukan oleh ahli dan akar umbi parti mengenai sejauh mana prestasi pemimpin parti membantu UMNO kembali gemilang.

“Saya mahu mengingatkan diri saya dan rakan-rakan bahawa kita harus meletakkan KPI baharu sama ada di jawatan Presiden, Naib Presiden bahkan kepada semua kepimpinan sayap.

“Bukan saya yang menilai tetapi biarlah akar umbi dan ahli menilai sejauh manakah mereka dapat membantu memberikan kemenangan semula kepada UMNO,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pengenalan Calon-Calon Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bagi Pemilihan UMNO 2023 peringkat Negeri Kelantan di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut yakin kepada kesetiaan ahli dan akar umbi di negeri Kelantan.

“Saya tidak meragukan kesetiaan ahli dan akar umbi di Kelantan. Kita perlu perkasakan UMNO di negeri ini walaupun agar sukar untuk kita ambil alih Kelantan.

“Saya yakin komitmen saya bersama rakan-rakan kepimpinan, kita akan tampilkan wajah-wajah baharu dan anak-anak muda sebagai calon di Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Saya telah menterjemahkannya dalam PRN Johor dan Melaka. Meskipun kecundang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, Allah tetap mendorong jalan kepada kita untuk tetap menjadi sebahagian daripada kerajaan,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Zahid lagi, parti perlu menentukan hala tuju baharu dan menjadikan KPI sebagai ‘game changer’ bagi membawa perubahan.

“Untuk maju ke depan kita perlu tentukan hala tuju baharu. Kita akan menjadikan KPI sebagai ‘game changer’ dalam parti yang bakal dibentangkan kepada ahli dan rakyat.

“Ada beberapa langkah yang akan dilakukan. Dengan pengumuman saya wujudkan Institut UMNO, begitu dengan Majlis Ulama UMNO yang telah kita mulakan.

“Ketiga, kita mahu lihat jentera kita menggunakan kaedah baharu iaitu dengan cara pendigitalan. Kita akan melakukan beberapa rombakan dan memberi ’empowerment’ kepada sayap-sayap,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar barisan kepimpinan yang dipilih ketika pemilihan ini akan membawa tekad untuk memperkukuh parti.

“Saya harapkan barisan kepimpinan yang akan dipilih nanti tidak harus ada pemimpin yang menjadi ‘duri dalam daging’ dan ‘gunting dalam lipatan’.

“Siapa pun diantara mereka yang dipilih akan komited untuk memperkasa dan memperkukuh UMNO untuk hadapi semua cabaran.

“Kita tidak mahu ada isu-isu dalaman yang akan menghalang penyatuan dan serang sesama sendiri. Satukan tindakan dan pemikiran kita. Berjemaah serang musuh-musuh luar, bukannya sesama kita,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.