Undi Perwakilan Bentuk Kepimpinan Masa Hadapan… Perkukuh Parti Demi Rakyat

LEMBAH PANTAI, 15 Mac – Para perwakilan yang telah menzahirkan undi mereka sempena Pemilihan UMNO 2023 ini sudah semestinya mahukan sebuah barisan kepimpinan mampu untuk memperkukuhkan parti demi menjaga kebajikan rakyat.

Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Lembah Pantai, Nur Mastura Abd Hamid berkata, dengan pembentukan saf kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO baharu ini akan membawa semangat keazaman agar menjadi sayap yang kuat untuk parti.

“Alhamdulilah, kami baru sahaja selesai mesyuarat perwakilan dan mengundi barisan kepimpinan di pusat. Kami berharap barisan kepimpinan baharu ini dapat memberi nafas segar kepada kepimpinan Puteri UMNO.

“Semoga dengan adanya saf kepimpinan baharu akan dapat membawa semangat keazaman yang jitu. Kita berharap sepanjang penggal ini, semuanya akan bersemangat dan bersatu bagi membentuk satu sayap yang kuat untuk parti,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui Sabtu lalu.

Nurul Mastura turut berharap agar jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan lebih menitikberatkan isu-isu semasa terutamanya berkaitan dengan rakyat.

“Kami berharap semua ahli jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan membawa semua aduan dan juga kerisauan ahli serta akar umbi ke pihak pusat.

“Semoga dengan pelantikan calon-calon baharu ini, mereka akan terus membawa isu-isu semasa terutamanya yang dihadapi oleh rakyat untuk diselesaikan secara bersama,” katanya lagi.

Dalam pada itu, salah seorang Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai, Nur Nasuha Roslan De Silva juga menaruh harapan agar semua proses Pemilihan UMNO 2023 akan berjalan dengan lancar sehingga ke penghujungnya.

“Mesyuarat perwakilan berjalan dengan lancar. Kami telah mendapat Ketua Puteri UMNO Bahagian yang baharu dan kami berharap beliau dapat menjalankan tugas dengan baik.

“Saya berharap agar pengundian kami membentuk jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang akan meneguhkan lagi keluarga UMNO.

“Saya berharap agar semuanya berjalan dengan lancar. Saya sentiasa mendoakan yang terbaik untuk masa depan parti,” katanya lagi.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari dan berakhir pada 26 Februari 2023 lalu.

Pada 11 Mac 2023 telah diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.