Syabas Wanita, Pemuda, Puteri… Dukung Amanah UMNO Demi Martabat Agama, Bangsa, Negara – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Pemilihan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO selesai dilaksana Sabtu lalu dengan proses pengundiannya berlangsung lancar membentuk kepimpinan yang kekal diterajui Datuk Seri Dr Noraini Ahmad bagi Wanita, kepimpinan baharu bagi Pemuda iaitu Dr Mohamad Akmal Salleh dan Puteri pula Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Sehubungan itu, Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada para perwakilan yang telah menunaikan tanggungjawab pemilihan dengan semangat dan disiplin yang tinggi, demi kelangsungan UMNO.

“Tahniah juga kepada mereka yang terpilih sama ada di peringkat Pusat atau Bahagian. Semoga semua yang mendapat tempat hasil dari undian para perwakilan akan dapat mendukung amanah parti dalam kelangsungan perjuangan demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

Ujarnya, biarpun ada beberapa aduan dan bantahan tetapi ianya adalah dalam jumlah yang kecil dan ditangani dengan baik oleh Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU).

“Saya ucapkan syabas pada semua para perwakilan yang terdiri dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang berbeza. Kehadiran dan sokongan para perwakilan ini menggambarkan bahawa UMNO tidak pernah tandus dengan sokongan rakyat di akar umbi.

“Memang pemimpin silih berganti tapi sokongan bertali arus rakyat sebagai ahli UMNO adalah sesuatu yang amat bermakna bagi meneruskan perjuangan parti dalam kesinambungan memastikan hala tuju agama, rakyat dan negara tercinta terjamin.”

Dalam masa yang sama beliau juga melahirkan rasa gembira kerana perjalanan persidangan dan pemilihan Wanita, Pemuda dan Puteri di bahagiannya iaitu UMNO Bahagian Putrajaya turut berlangsung lancar dan teratur.

Katanya biarpun jawatan ketua bagi ketiga-tiga sayap terbabit menang tanpa pertandingan namun untuk jawatan Naib Ketua dan jawatankuasa tetap ada pemilihan yang menyaksikan ianya berjalan dengan lancar.

Terdahulu, jawatan Ketua Wanita UMNO Putrajaya kekal pada penyandangnya, Husna Abdul Rahaman dan Ketua Pemua, Dr Tengku Iqbal Munawwir sementara bagi jawatan Ketua Puteri ialah muka baharu, Salwa Shokri.

Pemilihan UMNO diadakan bermula pada 1 Feb hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda serta Pergerakan Puteri Cawangan ialah dari 1 hingga 26 Feb ini.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac lepas.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.