Strategi Kembalikan Keyakinan Rakyat Amat Penting Untuk Parti Kekal Relevan

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Strategi untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO dilihat penting terutamanya bagi mengekalkan kerelevanan parti terutamanya kepada anak muda, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Ujarnya, proses Pemilihan UMNO yang berlangsung pada ketika ini merupakan salah satu kaedah untuk mengembalikan kegemilangan UMNO dan memulihkan sokongan rakyat kepada parti.

“Kita semua tahu bahawa sekarang adalah proses pemilihan parti daripada peringkat tertinggi walaupun kita tahu bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, hanya bermula daripada Naib Presiden.

“Ini merupakan satu proses bagaimana untuk kita memberi keyakinan kembali kepada rakyat bahawa UMNO itu sememangnya sentiasa relevan.

“Hanya tinggal bagaimanakah kita nak mengolah supaya keyakinan rakyat khususnya anak muda, pengundi luar dan sebagainya, sudah pastilah kita mahu meyakinkan mereka dengan memilih pemimpin yang terbaik,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut beliau, proses demokrasi yang UMNO laksanakan hari ini sudah pasti memperlihatkan kematangan parti seiring dengan usianya.

“Saya berpendapat bahawa proses demokrasi yang kita laksanakan pada hari ini sudah pastilah memperlihatkan kematangan parti. UMNO ini sebenarnya begitu lama sekali bertapak.

“Maka saya percaya untuk memulihkan UMNO daripada peristiwa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan 15, pemilihan ini akan dapat mengembalikan keyakinan rakyat kepada kita.

“Di bawah kepimpinan yang ada hari ini, saya percaya dapat kita meyakinkan rakyat bahawa UMNO akan terus mara ke hadapan meskipun PRU ke-16 masih jauh ke depan, tetapi kita ada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri,” katanya lagi.

Beliau yang juga menawarkan diri sebagai calon MKT bernombor 83 itu turut berharap agar calon-calon yang menang pada pemilihan ini akan bersungguh-sungguh turun padang bagi mendekati rakyat.

“Kita mestilah memberi keyakinan kepada anak muda khususnya yang mengalami pertambahan undi begitu ramai sekali. Maka, dengan cara pemilihan ini kita berharap yang menang akan turun padang bersungguh-sungguh bukan hanya sekadar nak menjadi calon tetapi selebihnya tidak berbuat apa-apa.

“Anak muda nak melihat kewibawaan kita bagaimana kita nak mengorak langkah kembali pada masa hadapan.

“Saya penuh yakin bahawa strategi untuk meyakinkan rakyat itu amat penting sekali dan sudah pastilah pucuk pimpinan peringkat atasan yang diketuai Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mencari satu formula bagaimana kita yang menang MKT ini melaksanakan tanggungjawab yang boleh memberi impak kepada parti,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.