Pemilihan UMNO 2023: Pilih Pemimpin Berwibawa Kukuhkan Parti – Ahmad Zahid

BENTONG, 15 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak para perwakilan untuk memilih pemimpin yang berwibawa dalam usaha bagi mengukuhkan parti.

Ujarnya, kemenangan yang telah dimuktamadkan bagi Wanita, sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO telah memperlihatkan para perwakilan mahu kesinambungan serta pembaharuan.

“Apabila kemenangan telah dimuktamadkan bagi Wanita dan sayap Pergerakan Pemuda serta Puteri UMNO ini memperlihatkan para perwakilan mahukan kesinambungan juga pembaharuan.

“Organisasi politik mustahil untuk dihidupkan sekiranya tidak ada orang baharu dan orang lama.

“Saya mohon pilihlah intan dan permata yang boleh menggilap semula UMNO lima tahun akan datang ataupun semasa Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pengenalan Calon-Calon Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sempena Pemilihan UMNO 2023.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu turut mempunyai hasrat untuk memperlihatkan UMNO sentiasa bersatu dan tidak mempunyai kabilah-kabilah.

“Apa yang penting bagi kita ialah kaedahnya. Ibu Pejabat UMNO telah menganjurkan program maka saya dan Timbalan Presiden hadir ke siri-siri majlis ini untuk menunjukkan komitmen.

“Kita tidak mahu nampak ada kelompok dan kabilah-kabilah yang berbeza,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut berpendapat bahawa UMNO sentiasa meraikan perbezaan pendapat terutamanya ketika parti perlu membuat keputusan antara dua gabungan.

“Segala proses membuat keputusan sebelum ini dilakukan dengan sebaik-baiknya. Maka, keputusan MKT memperlihatkan kita bersatu-padu.

“Apabila ada yang tidak bersetuju itu merupakan perkara biasa namun keputusan yang paling besar perlu UMNO tentukan adalah memilih antara dua gabungan untuk membentuk kerajaan.

“Daripada 56 orang, hanya dua orang sahaja yang tidak bersetuju. Tetapi kita tetap meraikan perbezaan pendapat dan berpadu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar para perwakilan memilih calon yang mementingkan perjuangan parti demi mendukung Kerajaan Perpaduan.

“Ini yang kita hasratkan agar para perwakilan memilih bukan hanya kerana cara berkempennya, poket kembung mahupun nipis. Tetapi pilihlah orang yang setia kepada parti untuk UMNO terus diperkasakan.

“Hakikatnya, UMNO mesti mendukung kerajaan hari ini iaitu Kerajaan Perpaduan. Saya perhatikan prestasi menteri-menteri UMNO dan merasakan tuan-tuan dan puan-puan tidak salah pilih wakil rakyat.

“…yang akan jadi Naib Presiden, kita perlukan mereka bersama kepimpinan bagi memperkukuhkan parti dan kerajaan. Jangan ada agenda dalam agenda dan parti dalam parti. Pilihlah calon terbaik,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.