Pemilihan Sayap: Tidak Lebih 20 Aduan Diterima, Akan Disiasat Secara Terperinci Dan Adil

KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Terdapat tidak lebih 20 aduan diterima melalui Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) berhubung dengan pemilihan sayap pada minggu lalu, ujar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau telah meminta Lembaga Disiplin untuk membuat siasatan secara terperinci dan teliti serta berlaku adil bagi memuaskan hati semua pihak.

“Tiada masalah yang besar. Mana-mana bahagian yang terlalu bermasalah, pemilihan semula akan dilakukan.

“Saya berharap tiada apa-apa masalah timbul dan saya percaya bahawa pihak Ibu Pejabat akan melakukan yang terbaik untuk melancarkan proses pemilihan ini,” katanya pada satu sidang media selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi peringkat Negeri Terengganu yang merupakan siri majlis pengenalan terakhir di sini, hari ini.

Katanya lagi, semua calon yang bertanding diberi layanan sama rata oleh JPU sepanjang proses kempen memperkenalkan diri.

“Dalam pemerhatian saya, majlis ini ternyata menzahirkan kelainan. Apabila MKT telah membuat keputusan bahawa Ibu Pejabat UMNO perlu menganjurkan majlis ini dan perlu dihadiri oleh calon-calon.

“Sekiranya ada calon yang tidak dapat hadir, nombor dan nama mereka akan tetap terpapar di layar.

“…yang paling penting bagi saya ialah bagaimana calon itu mempertahankan diri atau muka baharu sama ada dikenali atau tidak diberikan layanan secara sama rata,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berhasrat untuk mengukuhkan Kerajaan Perpaduan yang terbina hari ini.

“Kita berhasrat untuk mengukuhkan Kerajaan Perpaduan. Daripada lima parti gabungan ini, terdapat 20 parti-parti politik dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak.

“Apa yang lebih penting, kita perkukuhkan semula UMNO untuk berdepan dengan segala situasi politik di masa akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.