Individu Dalam Rakaman, Sebar Video Berdepan Tindakan Disiplin Parti – Shahrir

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) 2023 memaklumkan pihak yang terlibat dalam video dan penyebaran membabitkan pengiraan undi bagi sayap Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa akan dirujuk ke Lembaga Disiplin.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Samad, berkata ianya bertujuan bagi menyiasat secara terperinci dan mengenalpasti jenis hukuman untuk kesalahan yang dilakukan mereka.

“Dengan apa yang telah berlaku dalam perwakilan Pemuda khususnya di peringkat mengira undi, JPU telah membuat keputusan untuk merujuk dua pihak ke Lembaga Disiplin bagi disiasat dan juga dibuat keputusan sama ada hukuman yang bersesuaian dengan kesalahan yang telah dilakukan.

“Pihak dalam rakaman dan penyebaran video itu ke media sosial ada kaitannya dengan tataetika UMNO iaitu bersabit dengan kesetiaan kepada parti.

“Jadi kedua-dua pihak ini iaitu bahagian serta JPU bahagian dan ketua pemuda, ketua penerangan yang seolah-olah terlibat atau mungkin terlibat dalam mencampuri urusan pengiraan undi maka akan dirujukkan ke Lembaga Disiplin,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lebih lanjut beliau turut memaklumkan bahawa Pergerakan Pemuda UMNO Titiwangsa perlu mengadakan kembali persidangan sayap tersebut sebelum 17 Mac atau selewatnya pada Jumaat ini.

“Seperti sedia maklum perwakilan Titawangsa telah ditangguhkan setelah bermula dengan baik dan teratur tetapi apabila berlakunya sedikit masalah dan timbulnya beberapa persoalan jadi telah diputuskan ketika itu pada 11 Mac untuk perwakilan Pemuda UMNO Titiwangsa ditangguhkan.

“Jadi JPU pusat telah membuat keputusan setelah mendapat laporan daripada kedua-dua pihak iaitu UMNO Bahagian dan Pergerakan Pemuda dan membuat keputusan bahawa mesyuarat perwakilan Pemuda harus diadakan semula.

“Tarikh untuk mengadakan mesyuarat semula harus diadakan sebelum 18 Mac namun sekiranya tidak dapat diadakan Pemuda tidak boleh menghantar wakil mereka yang dipanggil sebagai G10 untuk menghadiri Persidangan Bahagian yang akan berlangsung pada Sabtu ini. Ini keputusan yang telah kita buat dan telah memberitahu kepada pentadbiran UMNO Bahagian tentang keperluan untuk mengadakan semula,” ujar beliau.

Terdahulu tular satu video pada Sabtu lalu dipercayai berlaku di pusat kiraan undi bagi sayap Pemuda UMNO Titiwangsa, berkait dakwaan manipulasi undi oleh JPU bahagian Titiwangsa. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.