Impact Malaysia: Jangan Ganggu-Gugat Keharmonian Rakyat Berbilang Bangsa, Agama Di Negara Ini

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Puteri UMNO hari ini dengan tegas menolak sekeras-kerasnya usaha Inisiatif Inkusif Impact Malaysia jika melibatkan belia yang beragama Islam demi kesucian agama Islam sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Naib Ketuanya, Siti Sokhleha Nordin berkata Puteri UMNO turut mendesak kerajaan agar bertindak tegas terhadap golongan yang tanpa henti berterusan mengganggu-gugat keharmonian masyarakat yang berbilang bangsa dan agama di negara ini.

“Negara baru digegarkan dengan kontroversi filem penstriman ‘Mentega Terbang’ yang jelas terdapat usaha beberapa pihak yang mahu mencetuskan polemik dan seterusnya mampu menimbulkan konflik antara agama di negara ini.

“Terbaru, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan iaitu Impact Malaysia pula menganjurkan program ‘Projek Artikel 11’ terutama ‘Jom Ziarah’ rumah ibadat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Sokhleha lagi, badan-badan politik, NGO dan pihak berkuasa agama perlu berganding bahu mengekang segala unsur-unsur yang melibatkan pengembangan fahaman liberalisme dan pluralisme di negara ini.

“Perkara 3(1) jelas menyatakan Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan. Begitu juga Perkara 11(1) iaitu tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4) mengembangkannya.

“Akan tetapi, Perkara 11(4) menyebut Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam,” katanya lagi.

Kata Ketua Puteri UMNO Bahagian Padang Besar itu lagi, berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan tersebut jelaslah menunjukkan bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di Malaysia sangat penting dan istimewa.

“Masyarakat bukan Islam perlu menghormati kedudukan Islam di Malaysia kerana undang-undang di Malaysia memberikan kebebasan kepada orang bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka dalam keadaan aman dan damai.

“Sebagai sebuah negara yang diversiti masyarakatnya, seharusnya semua rakyat bertindak mengikut lunas-lunas yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” jelas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.