Terus Gerak Ke Depan, Rapatkan Saf Dan Tidak Perlu Imbau Kisah Silam

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berkata seluruh ahli Wanita perlu merapatkan saf dan masing-masing menggembleng tenaga dalam usaha memastikan UMNO terus menjadi nadi perjuangan rakyat.

Dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, beliau berharap pemilihan Wanita UMNO yang berakhir Sabtu lalu menjadi medan terbaik untuk masing-masing melipatgandakan lagi usaha setelah mendapat kepercayaan ahli di akar umbi.

“Pemilihan sudah berakhir bagi Wanita UMNO, maka kita perlu rapatkan saf dan menggembleng tenaga berlipat kali ganda demi kejayaan UMNO terutamanya pada Pilihan Raya Umum (PRU-16) kelak.

“Terima kasih kepada seluruh jawatankuasa pimpinan Wanita UMNO bukan sahaja di peringkat pusat dan bahagian malah di cawangan juga sebelum ini yang telah berhempas pulas demi Perjuangan UMNO ini. Semestinya cabaran getir menanti jawatankuasa pimpinan baru di bawah Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada jalan yang berliku di masa hadapan.”

Tambah beliau, masing-masing tidak perlu lagi menoleh ke belakang apatah lagi untuk mengimbau kisah-kisah lalu sebaliknya bergerak ke depan seiring dengan cabaran yang menanti kelak demi UMNO sebuah perjuangan.

“Kita tidak boleh lagi menoleh ke belakang mengimbau babak-babak sejarah lampau. Kita perlu bergerak seiring dengan pantas mengemudi sayap Wanita UMNO dengan pantas dan jitu.

“Telah dijangka Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mempertahankan jawatan sebagai Ketua Wanita UMNO selepas menggagalkan kemunculan semula pencabarnya yang juga bekas Ketua Wanita UMNO,  Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dalam saingan sengit pemilihan sayap yang berlangsung pada Sabtu yang lepas.

“Wanita UMNO kini sememangnya memerlukan kelebihan seperti kredibiliti yang ada pada Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di dalam memastikan wanita kekal di atas landasan yang betul untuk memastikan ketua wanitanya mengemudi Wanita UMNO dengan pantas serta kekal relevan di pentas politik semasa,” katanya.

Justeru, beliau yakin parti akan mampu mendapat keyakinan rakyat kerana UMNO masih ada harapan untuk kuat dan bangkit kembali asalkan dipandu dan diuruskan dengan baik. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.