Lantikan Wakil Parti Politik Dalam GLC Ditapis Sekretariat Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid

BENTONG, 14 Mac – Lantikan ahli atau profesional mewakili parti politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah di bawah pengetahuan dan tapisan Sekretariat Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata setiap parti yang membentuk kerajaan akan melakukan perundingan di bawah sekretariat itu terlebih dahulu sebelum sebarang pelantikan dimuktamadkan.

“Bagi mengelak konflik, kita melakukan perundingan malah sebelum sesuatu pelantikan dibuat sekretariat ini akan memperincikan dahulu latar belakang individu berkenaan.

“Ini dibuat agar tokoh-tokoh mewakili parti politik yang diketengahkan mempunyai pengalaman dan latar belakang yang mampu menguatkan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib-naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi sempena Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 peringkat negeri Pahang, dekat sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata beliau amat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh menteri dan timbalan menteri daripada UMNO ketika penubuhan Kerajaan Perpaduan mencapai 100 hari, hari ini.

Menurutnya, beliau mempunyai kaedah tersendiri dalam memantau prestasi kesemua menteri dan timbalan menteri terhadap perkhidmatan yang diberikan mereka di kementerian antaranya melalui jawapan pada sidang Dewan Rakyat serta kenyataan yang dikeluarkan kepada media.

“Apa yang penting mereka dapat memenuhi harapan rakyat kerana imej mereka malah saya sendiri adalah cerminan kepada imej UMNO… khidmat yang diberikan telah mengubah persepsi bahawa tokoh-tokoh UMNO boleh memberikan perkhidmatan yang baik,” katanya.

Ditanya mengenai harapannya berhubung pemilihan calon pimpinan peringkat tertinggi UMNO bagi tempoh 2023-2026, Ahmad Zahid berkata beliau yakin perwakilan mempunyai cukup pengetahuan dalam menentukan gabungan kepimpinan baharu yang boleh melonjakkan perjuangan parti ke tahap lebih tinggi.

Beliau berkata berdasarkan trend pemilihan Ketua Wanita, Pemuda, Puteri dan barisan exco pergerakan sayap UMNO yang dimuktamadkan semalam, beliau yakin seluruh perwakilan bagi peringkat tertinggi memahami bahawa ahli parti mahukan kesinambungan dan keseimbangan dalam kepimpinan yang akan dibentuk.

“Harapan saya agar ada kombinasi antara yang lama dan muka baharu dapat diketengahkan kerana faktor ini penting dalam merelevenkan UMNO dengan semua peringkat umur atau kumpulan generasi,” katanya.

Pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi akan berlangsung pada Sabtu ini. – BERNAMA

 

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.