“Kesetiaan Saya Tetap Kepada Parti” – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 14 Mac – “Kesetiaan saya, tetap kepada parti.”

Demikian tekad Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dalam video pendeknya yang dipaparkan di laman Facebooknya.

“Ikrar saya, selagi perjuangan parti tidak lari dari prinsip dan ideologinya, saya akan lakukan apa saja demi parti,” katanya lagi.

Umum mengetahui, Dr Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong adalah salah seorang menteri UMNO/Barisan Nasional (BN) yang meletakkan jawatan, sebagai Menteri Tenaga dan Alam Sekitar apabila parti membuat keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan pusat di bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Untuk rekod, pada 8 Julai 2021, Mesyuarat MKT memutuskan UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin atas kegagalan kerajaan menangani pandemik COVID-19 secara berkesan dan menyalahgunakan darurat yang hanya untuk muslihat politik hingga memudaratkan rakyat dan ekonomi negara.

Antara lain juga, kegagalan kerajaan yang jelas memperkotak-katikkan titah Yang di-Pertuan Agong dan raja pemerintah hingga terpaksa berulang-kali mengeluarkan kenyataan media serta titah mengadap supaya Parlimen dibenarkan bersidang dan membahaskan Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara.

Berhubung dengan Pemilihan UMNO 2023 ini, Dr Shamsul Anuar yang memegang nombor calon 38 sekali lagi menawarkan diri sebagai ahli MKT UMNO.

“Dengan niat kerana Allah, saya menawarkan diri sebagai Ahli MKT UMNO Malaysia bagi sesi 2023-2026 dan ingin berbakti, berkhidmat kepada UMNO demi perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya memohon sokongan dan undi dari perwakilan.

Pemilihan UMNO dijadual berakhir pada Sabtu ini dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO.

Sabtu lepas, telah dilaksanakan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian serta pemilihan jawatankuasanya bersama pemilihan di peringkat pusat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.