Jaga Kerahsiaan Parti, Pesan Presiden Kepada Bakal MKT
SEREMBAN, 14 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bakal barisan ahli Majlis Kerja (MKT) agar menjaga kerahsiaan parti.
Pesannya, setiap yang dipilih ataupun dilantik telah mengangkat sumpah kerahsiaan dan sepatutnya tidak berlaku perkara yang diperbincangkan disalurkan kepada pihak luar selagi tiada kata putus dalam mesyuarat tersebut.
“Perbincangan dalam mesyuarat MKT adalah proses membuat keputusan sama ada untuk bersetuju atau tidak bersetuju dalam sesuatu perkara.
“Jangan sampai sebelum keputusan dibuat maklumat telah sampai di luar. Ini cukup tidak baik kerana setiap ahli MKT, sama ada yang dipilih, dilantik atau yang turut hadir, telah mengangkat sumpah menyimpan rahsia,” tegasnya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib Presiden dan Ahli MKT peringkat Negeri Sembilan, di sini, Isnin.
Dalam masa yang sama kata Ahli Parlimen Bagan Datuk lagi, sumpah kerahsiaan bukan sahaja janji kepada parti tetapi juga kepada diri individu berkenaan serta tidak mahu ada kelompok-kelompok tertentu.
“…saya mengamalkan dasar untuk meraikan perbezaan pendapat dan hormati keputusan meskipun secara luaran tak bersetuju dengan saya…tapi saya utamakan parti…bukan ambil jalan untuk balas dendam,” tambahnya.
Beliau turut terkilan dengan sikap segelintir pihak yang membuat cerita tidak betul tetapi tidak mahu berjumpa dengannya.
“Saya buktikan dalam banyak kali Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU), seseorang yang tidak bersetuju dengan saya dan tidak pernah berjumpa dengan saya, tulis macam-macam tetapi saya tetap beri peluang.
“Saya cukup sabar melihat kerenah di keliling saya atau di luar. Saya memerhatikan setiap tindak-tanduk semua pihak,” ujarnya.
Seterusnya, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berharap pemimpin yang dipilih dalam pemilihan parti kali ini tidak lagi bersekongkol dengan pihak yang mahu memusnahkan UMNO.
“Kalau kita telah menang, jangan lagi bersekutu dengan pihak yang menjadi gunting dalam lipatan di dalam parti ataupun menjadi api dalam sekam. Cukuplah dengan apa yang telah berlaku sebelum ini.
“Pertandingan ini sedarah sedaging, semua bertanding ini untuk memperkukuhkan parti, saya dan Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan-Timbalan Presiden) terima siapa sahaja yang menang. Itulah pemimpin UMNO yang akan bersama-sama saya dan parti,” katanya lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal dan calon-calon yang bertanding di peringkat pusat.
Terdahulu, majlis sedemikian telah diadakan di Wilayah Persekutuan diikuti Pulau Pinang, Kedah/Perlis, Perak, Sabah, Selangor, Johor dan Melaka.
Pemilihan UMNO dijadual berakhir pada Sabtu ini dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO. – UMNO Online
Oleh: Amin Adnan