Bentuk Saf Kepimpinan Masa Hadapan Seiring Aspirasi Parti – Dr Masliha

LEMBAH PANTAI, 14 Mac – Barisan kepimpinan masa hadapan yang bakal dibentuk semasa Pemilihan UMNO 2023 ini haruslah membawa agenda dan aspirasi parti untuk memperkukuhkan lagi parti keramat itu.

Mantan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai yang mencalonkan diri sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun berpendapat bahawa penampilan enam orang calon bagi jawatan ditandingi itu menunjukkan demokrasi dalam parti sentiasa subur.

“Kita ada enam calon untuk Jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia. Masing-masing ada kekuatan dengan kemampuan masing-masing.

“Tetapi alhamdulilah, itu menunjukkan suburnya demokrasi dalam UMNO dan pastinya satu saf kepimpinan baharu dibentuk.

“Insya-Allah pasukan ini adalah pasukan yang kuat dan mengikut aspirasi parti. Mereka ini haruslah membawa agenda parti dan bersatu supaya kita tidak nampak berpecah selepas ini,” katanya kepada UMNO Online selepas Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Lembah Pantai, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Masliha memaklumkan bahawa proses mesyuarat perwakilan dan pengundian yang berlaku berjalan dengan lancar serta mengumumkan Ketua Puteri baharu untuk bahagian tersebut.

“Alhamdulilah. seramai 73 perwakilan datang untuk mesyuarat terakhir saya sebagai Ketua Puteri UMNO Lembah Pantai. Kita telah memilih Nooryana Najwa Najib sebagai Ketua Puteri yang baharu bersama barisan kepimpinan lain.

“Semua perwakilan tahu bahawa mesyuarat kali ini ada pemilihan dan pengundian. Ianya selesai dengan lancar. Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) juga menjalankan kerja dengan baik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar semua bahagian dapat menyelesaikan mesyuarat dengan lancar dan memilih pemimpin terbaik untuk parti.

“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih. Mungkin ada bahagian yang telah selesai bermesyuarat dan mungkin ada bahagian telah mengundi saya, saya ucapkan ribuan terima kasih.

“Kepada bahagian yang belum selesai bermesyuarat, saya harap mereka dapat menyelesaikannya dengan lancar. Kepada yang bakal mengundi di peringkat bahagian, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 18 Mac, buatlah pilihan bijak dan pilihlah pemimpin yang mengikut inspirasi serta setia kepada parti,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.