Susah Senang Bersama, Terus Bersatu Hati Bawa Perjuangan UMNO – Noraini

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad merakamkan penghargaan atas keyakinan ahli akar umbi yang sekali lagi memberikan kepercayaan kepada dirinya.

Mengekalkan jawatan buat penggal kedua, Noraini mengajak ahli parti untuk terus bersama memperkasakan UMNO demi membawa terus perjuangan parti keramat ini.

“Dari lubuk hati paling dalam saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Wanita UMNO di seluruh negara serta sahabat-sahabat #SusahSenangBersama di atas sokongan dan kepercayaan kepada saya bagi meneraju Wanita UMNO Malaysia. Insya-Allah, saya tidak akan mensia-siakan kepercayaan yang diberikan ini.

“Ayuhlah, kita semua bersatu hati meneruskan perjuangan untuk memperkukuhkan lagi parti bukan saja di hati ahli tetapi juga di mata rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu dalam pada itu turut meluahkan rasa hormatnya kepada mantan Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang merupakan penyainginya pada Pemilihan ini.

Katanya, segala pesanan yang diberikan Shahrizat akan terus dijadikan sandaran dalam usaha memperhebatkan Wanita sebagai tulang belakang parti keramat ini.

“Dalam apa keadaan sekalipun, tidak akan terkurang rasa hormat dan sayang saya terhadap Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

“Setiap mesej, teguran dan pandangan yang diberikan amat dihargai dan akan dijadikan panduan dalam memeta jalan ke hadapan kita bersama,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.