Khaidirah Beri Komitmen Agenda Wanita Muda Terus Dibawa

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Khaidirah Abu Zahar meluahkan kesyukuran dan berlapang dada dengan keputusan para perwakilan khususnya membabitkan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia.

Mengambil positif daripada keputusan tersebut, beliau yang juga calon bagi Ketua Puteri percaya pelbagai pembaharuan terbaik perlu dilakukan dalam memperkasa sayap bongsu parti keramat ini.

“Saya percaya setiap daripada kita mahukan yang terbaik untuk sayap Puteri khususnya dan UMNO umumnya.

“Dengan kepimpinan baharu Pergerakan Puteri UMNO, banyak yang perlu dilakukan dalam mengembalikan sokongan orang muda kepada parti, membawa agenda wanita muda dan meletakkan sayap ini berada pada tahap lebih tinggi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mengambil kesempatan itu, Khaidirah dalam pada itu merakamkan ucapan tahniah kepada Ketua Puteri UMNO baharu, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Naib Ketua, Siti Sokhleha dan barisan EXCO Puteri UMNO penggal 2023 – 2026.

Beliau juga turut meluahkan tekad untuk terus bersama dalam Puteri UMNO bagi memberikan khidmat terbaik dengan dokongan daripada rakan-rakan Puteri.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada ribuan terima kasih saya ucapkan kepada seluruh perwakilan khususnya para perwakilan yang memberi kepercayaan kepada saya untuk membawa Sinar Baharu Puteri.

“Kalian menjadi denyut nadi Puteri untuk saya terus berkhidmat. Perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara akan sentiasa diteruskan dalam segenap ruang yang ada, InsyaAllah,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.