Kemunculan Wajah Baharu Sambung Kerelevanan Parti

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Membawa tekad untuk menyambung kerelevanan parti, ramai calon berwajah baharu muncul ketika musim Pemilihan UMNO 2023 terutamanya dalam lingkungan usia 20-an sehingga 30-an untuk membantu parti.

Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu, Muhamad Izzat Ziad berkata, Undi 18 merupakan faktor utama kemenangan sesebuah parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan ianya perlu disambut dengan penglibatan generasi muda dalam politik.

“Jika kita lihat Undi 18 ini menjadi faktor utama kemenangan sesebuah parti untuk Pilihan Raya Umum (PRU). Generasi muda ini sudah tentulah arif mengenai media dan mempunyai kelompok kawan-kawan yang sebaya.

“Kalau kita tidak ‘tackle’ anak muda berusia 20-an ini untuk menyertai ‘battle’ dalam mempromosikan UMNO, bila lagi? Adakah kita mahu mengharapkan ahli akar umbi berusia 40-an untuk mendekati mereka?

“Sudah semestinya lingkungan umur mereka berbeza dan ianya mungkin akan menyebabkan anak-anak muda ini berasa kurang selesa maka generasi 20-an dan 30-an ini terpanggil untuk menyumbang bagi memenangkan parti dalam masa lima ke enam tahun lagi,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Muhamad Izzat, penglibatan anak muda ini menunjukkan bahawa UMNO tidak pernah ketandusan pemimpin-pemimpin muda.

“Kalau kita lihat untuk jawatan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kali ini, seramai 113 orang menawarkan diri. Kalau dijumlahkan kesemua calon yang menawarkan diri untuk mengisi jawatan dalam Pergerakan Pemuda UMNO, hampir 150 orang.

“Pada saya, ini menunjukkan bahawa parti tidak pernah ketandusan dalam melahirkan pemimpin-pemimpin muda kerana ramai yang menawarkan diri juga datangnya daripada lingkungan usia 20 ke 30-an,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memuji proses kelancaran Pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 meskipun ianya datang dengan tataetika yang tegas daripada Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU).

“Meskipun Pemilihan UMNO kali ini Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) menetapkan tataetika yang ketat, ianya masih berjalan dengan lancar. Terbuktilah UMNO meraikan demokrasi.

“Sekiranya ada bantahan sekalipun, kita mempunyai sistem yang teratur. Walaupun kalah, UMNO ini merupakan sebuah parti yang ‘well managed’, ‘established’ dan ianya nyata tidak mematikan sistem demokrasi daripada peringkat cawangan sehinggalah ke pusat,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.