Tidak Rasmi: Noraini Ketua Wanita, Muhamad Akmal Ketua Pemuda

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengekalkan jawatan Ketua Wanita UMNO selepas memenangi pengundian dalam pemilihan parti terbabit yang diadakan semalam.

Hal tersebut disahkan oleh Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar yang memaklumkan keputusan tidak rasmi bahawa Noraini berjaya mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO Malaysia.

“Segala solongan dan jasa baik semua amat dihargai dan akan dikenang. Marilah kita bersatu semula demi parti bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan tiba.

“Biduk lalu kiambang bertaut. Maaf dari saya sekira ada sepanjang kempen menyentuh hati dan perasaan sesiapa. Mudah-mudahan Allah merahmati kita semua,” katanya dalam kenyataan pendek kepada UMNO Online.

Noraini mengekalkan jawatan disandang dengan menewaskan pencabarnya Tan Sri Shahrizat Abd Jalil.

Untuk pemilihan membabitkan Ketua Pemuda UMNO, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh memenangi jawatan terbabit.

Beliau memenangi pemilihan ini berbanding tiga lagi pencabarnya iaitu Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti Datuk Armand Azha Abu Hanifah dan Meor Hassan Mat Ali.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi laman Twitternya malam ini turut mengucapkan tahniah kepada Dr Muhamad Akmal dan berharap beliau dapat memimpin Pemuda UMNO ke arah yang lebih hebat.

“Moga beliau akan berjaya mendekati anak muda dan membawa mereka ke mercu jaya,” katanya yang memuat naik sekeping gambar bersama ADUN Merlimau yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka itu.

Terdahulu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang tidak mempertahankan jawatan itu, memaklumkan Dr Muhamad Akmal memperoleh undi 102 Bahagian iaitu melepasi 96 undi untuk memperoleh majoriti mudah daripada 191 Bahagian.

“Alhamdulillah, keputusan tidak rasmi Dr Muhamad Akmal berjaya memenangi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO untuk sesi 2023-2026,” katanya menerusi laman Facebook.

Dr Muhamad Akmal, yang memiliki Ijazah Perubatan daripada Russian State Medical University, merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka sejak 2018.

Bagi jawatan Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi mendahului undi berbanding pencabarnya yang lain iaitu Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Khaidhirah Abu Zahar, Dr Masliha Harun, Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin,Fadwah Anuwar dan Nurul Hazwani Haslan.

Keputusan rasmi pemilihan akan diumum Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad hari ini.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.