Pemilihan UMNO 2023: JPU Sahkan Kemenangan Tidak Rasmi Beberapa Jawatan Utama Dipertandingkan

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad telah mengesahkan kemenangan tidak rasmi beberapa jawatan utama yang dipertandingkan sehingga jam 8.00 malam tadi.

Jelasnya, keputusan pada peringkat ketua bagi Wanita UMNO dan sayap Pergerakan Pemuda serta Puteri telah jelas kelihatan meskipun pihak Ibu Pejabat UMNO masih lagi menunggu lebih kurang lapan bahagian menghantar jumlah pengundian.

“Kita sedia maklum bahawa semalam kita telah mengadakan perwakilan sayap di peringkat bahagian. Pengiraan undi telah bermula sejak malam semalam sehingga ke saat ini.

“Jumlah dan keputusan pengundian telah dihantar bahagian-bahagian ke Ibu Pejabat UMNO. Kita dapat lihat keputusan tidak rasmi sehingga jam 8.00 malam ini.

“Pada peringkat ketua-ketua Wanita dan sayap Pergerakan Pemuda mahupun Puteri sudah kelihatan jelas keputusannya meskipun tinggal tujuh atau lapan bahagian yang belum menghantar keputusan,” katanya semasa sidang media yang diadakan hari ini, di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn di sini.

Menurut Shahrir, tiada perubahan di peringkat dua jawatan tertinggi bagi Wanita UMNO manakala dua lagi sayap telah mendapat ketua dan naib ketua yang baharu.

“Kedudukan calon-calon yang mendapat tempat sebagai ketua secara tidak rasmi telah mencapai kemenangan untuk saya sahkan.

“Di peringkat Wanita UMNO, kita dapat lihat tiada perubahan dari segi kedudukan Ketua dan Naib Ketuanya. Datuk Dr Noraini Ahmad kekal bersama Naib Ketuanya, Datuk Norliza Abdul Rahim. Jadi, tiada perubahan pada jawatan tertinggi untuk Wanita UMNO.

“Di peringkat Pergerakan Puteri UMNO, kita dapat menyaksikan Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berjaya dipilih sebagai ketua pada musim pemilihan ini, manakala Naib Ketua Pergerakan Puteri pula disandang oleh Siti Sokhleha Nordin dan kedudukannya tidak tergugat,” katanya lagi.

Ujar beliau lagi, pada jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO sahaja yang belum dapat dipastikan kerana berlaku persaingan sengit antara calon-calon bertanding.

“Untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh kekal di hadapan meninggalkan pencabarnya yang lain. Baki bahagian-bahagian yang belum menghantar keputusan tidak dapat mengubah kedudukan beliau.

“Hanya jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO sahaja kelihatan ada persaingan agak sengit antara Mohd Hairi Md Shah dan pencabarnya, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham dan masih belum dapat ditentukan kemenangan masing-masing.

“Saya akan sahkan secara rasmi apabila semua keputusan diterima,” katanya lagi.

Seramai 164,000 perwakilan telah menzahirkan pengundian mereka bagi menentukan kedudukan calon-calon yang menawarkan diri bagi jawatan-jawatan dipertandingkan, semalam.

Sebanyak 189 daripada 191 bahagian telah mengadakan persidangan sayap di bahagian masing-masing semalam berikutan terdapat dua bahagian telah digantung iaitu UMNO Bahagian Tanah Merah dan UMNO Bahagian Kota Kinabalu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.