Jagalah Parti Keramat ini… UMNO Perlu Bersatu Dapatkan Kepercayaan Rakyat – Nooryana Najwa

LEMBAH PANTAI, 12 Mac – Untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat, UMNO perlu dilihat stabil dan sentiasa bersatu, kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Lembah Pantai baharu, Nooryana Najwa Najib.

Jelasnya, pertandingan dalam keluarga yang berlaku semasa Pemilihan UMNO 2023 ini merupakan satu proses demokrasi disertai adatnya iaitu menang dan kalah.

“Pertandingan ini merupakan satu proses demokrasi. Sudah menjadi adat pertandingan, ada yang menang dan kalah. Saya harap walau apa pun yang terjadi, jagalah UMNO parti keramat kita.

“Kita bertanding pun dalam suasana kekeluargaan. UMNO harus stabil dan teguh bersatu jika kita ingin meningkatkan kepercayaan rakyat kepada parti,” katanya kepada UMNO Online selepas Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Lembah Pantai.

Membawa tekad untuk melihat Pergerakan Puteri UMNO Lembah Pantai bergiat lebih aktif, Nooryana turut beranggapan bahawa parti tidak pernah ketandusan pemimpin dan mempunyai banyak bakat terpendam.

“Sebenarnya saya nak melihat Puteri Lembah Pantai ini lebih aktif kerana ramai yang menganggap UMNO ini ketandusan pemimpin muda.

“Tetapi apa yang saya lihat sepanjang proses pemilihan ini banyak yang mempunyai bakat dan minat tetapi mungkin tidak dapat peluang untuk menonjolkan diri.

“Jadi, peranan saya sebagai Ketua Puteri, saya nak mengasah bakat mereka dan mengajak mereka untuk bergiat aktif,” katanya lagi.

Turut menawarkan diri sebagai Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia calon nombor 21, beliau berharap agar dapat memberikan sumbangan sebaiknya untuk memperkuatkan lagi parti.

“Insya-Allah, saya nak mengajak lebih ramai Puteri Lembah Pantai untuk bergiat aktif di peringkat nasional.

“Saya berharap agar saya dapat memberikan sumbangan sebaiknya kepada parti terutamanya dalam memperkuatkan lagi parti dalam berhadapan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.