Enggan Lepas Jawatan, Muhyiddin Cakap Tidak Serupa Bikin – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin yang enggan melepaskan jawatannya meskipun telah dihadapkan ke mahkamah akibat kes salah guna kuasa dan rasuah dilihat ‘cakap tidak serupa bikin’.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil berkata, sebelum ini pemimpin PN khususnya PPBM sering menyuruh pemimpin UMNO untuk meletakkan jawatan akibat pertuduhan yang dihadapi mereka.

“Sebelum ini puak PPBM kata pemimpin politik yang ada kes mahkamah kena letak jawatan dan mereka sibuk suruh pemimpin UMNO letak jawatan.

“Selepas itu, apabila Ketua Penerangan PPBM kena dakwa dan letak jawatan, Muhyiddin kata ini standard parti kononnya bila ada kes mahkamah mereka akan letak jawatan.

“Kemudian Muhyiddin kata dia akan letak jawatan jika ada pertuduhan dan dakwaan. Tapi apabila sudah ada pertuduhan dan dakwaan, dia tidak letak jawatan kononnya sebab kawan-kawan dia tidak izin,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Justeru, Isham Jalil turut menempelak pemimpin-pemimpin PN untuk tidak menggunakan duit komisyen kontraktor rundingan terus dari projek kerajaan untuk biaya kempen politik seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Apa punya sembang. Muhyiddin ini memang cakap tidak serupa bikin dari dulu. Dulu dia kata orang kleptokrat, sekarang kes kleptokrat dia lah yang paling besar dalam sejarah Malaysia.

“Sekarang dia ingin buat ‘Gelombang Abah atau Gelabah’, dan dia akan tunggang parti komponen PN iaitu Pas seperti biasa lagi sebab PPBM tiada akar umbi.

“Lain kali, jangan guna duit komisyen kontraktor rundingan terus dari projek kerajaan untuk biaya kempen politik kamu seperti yang kamu didakwa buat sebelum ini,” katanya lagi.

Pada Khamis media melaporkan PPBM tidak akan membenarkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan walaupun beliau mungkin didakwa di mahkamah pada Jumaat.

Ketua Penerangan parti itu, Datuk Razali Idris percaya pimpinan PPBM dan PN tidak akan bersetuju jika Muhyiddin ingin meletak jawatan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.