Ahmad Zahid Seru Semua Perwakilan UMNO Kembali Sebagai Satu Pasukan

JOHOR BAHRU, 12 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua perwakilan agar kembali bersatu sebagai satu pasukan dan melupakan sebarang sengketa walau siapapun yang dipilih menerajui barisan kepimpinan parti itu nanti.

Ahmad Zahid berkata beliau juga bersedia menerima apa sahaja keputusan perwakilan menjelang pemilihan peringkat Ketua Bahagian, kepimpinan Bahagian serta kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di peringkat nasional, Sabtu depan.

“Untuk pemilihan peringkat Ketua Bahagian dan kepimpinan bahagian serta kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi di peringkat nasional nanti, kita akan menyaksikan barisan (kepimpinan) baharu atau pengekalan barisan lama.

“Saya sebagai Presiden UMNO terima siapa sahaja berada bersama-sama dengan kepimpinan dan saya harapkan semuanya berazam dan bekerjasama untuk perkasakan semula UMNO,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengenalan calon-calon Naib Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) sempena Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid adalah penting agar semua ahli dan perwakilan berada dalam satu pasukan, bukan sahaja untuk menangkis serangan musuh dari luar tetapi juga bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri di enam negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang.

Mengulas sama ada keputusan pemilihan sayap UMNO setakat ini yang menggambarkan perwakilan mahukan generasi lebih segar memimpin parti itu turut dijangka berlaku pada pemilihan Ketua Bahagian, MT dan Naib Presiden, beliau berkata memilih kepimpinan sayap dan di peringkat nasional mungkin coraknya berbeza.

“Apa yang kita harapkan, siapapun yang menjadi pemimpin pelapis mesti membugarkan semula UMNO untuk hadapi cabaran mendatang dan yang penting kita dapat bekerjasama dalam satu pasukan,” kata Ahmad Zahid.

Mengenai ‘komitmen’ Ketua Pemuda UMNO yang baharu Dr Muhamad Akmal Saleh yang bertekad mahu meminda perlembagaan sayap itu untuk mengehadkan calon umur Ketua Pemuda kepada 40 tahun sahaja, Ahmad Zahid berkata beliau juga pernah berpandangan begitu ketika memegang jawatan berkenaan.

“Ketika saya jadi Ketua Pemuda pun, saya memberikan pandangan begitu, tetapi akhirnya perbincangan mesti diadakan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan dan mesti dibawa ke Majlis Tertinggi (MT) sebelum dapat kelulusan atau sebaliknya (diluluskan dalam) Perhimpunan Agung UMNO.

“Semua orang boleh melontarkan idea tetapi akhirnya keputusan parti di mana badan tertinggi UMNO ialah Perhimpunan Agung UMNO. (Sekiranya) tiada Perhimpunan Agung UMNO barulah MT akan menjadi badan tertinggi,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata parti itu terbuka dan bersedia menerima apa sahaja cadangan yang positif termasuk cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau (Melaka) itu mengenai pindaan perlembagaan had umur bagi Ketua Pemuda UMNO. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.