UMNO Tetap Segar Subur Di Akar Umbi, Pilihlah Pemimpin Yang Setia – Rosnah

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Pemilihan UMNO yang berlangsung di seluruh negara sekarang ini menjadi bukti bahawa perjuangannya tetap subur di akar umbi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin melihat bahawa sambutan daripada calon-calon yang menawarkan diri cukup meriah menandakan UMNO tetap segar.

“Alhamdulillah sambutan saya kira amat meriah yang melibatkan pencalonan-pencalonan dan menunjukkan bahawa UMNO itu sentiasa relevan.

“Dan pada kami lebih-lebih lagi calon-calon dari negeri Sabah, apa yang kami saksikan ini menunjukkan UMNO itu masih lagi segar, masih lagi parti ini dalam jiwa nurani semua ahli UMNO yang berada di negeri Sabah.

“Kami telah berada di dalam situasi di mana berlakunya penghijrahan sebelum ini yang berlaku pada 2018 dan sekali lagi ianya berlaku baru-baru ini namun pada kali ini saya kira penghijrahan itu tidak melibatkan sokongan akar umbi,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga mencalonkan diri bagi mempertahankan jawatan ahli MKT dengan nombor calon 85 menganggap bahawa ahli-ahli UMNO di akar umbi di Sabah tetap setia kepada parti.

“Akar umbi masih lagi teguh bersama-sama dengan UMNO dan ini menunjukkan bahawa walaupun kita lihat pelbagai tohmahan, pelbagai pendekatan yang dilaksanakan oleh pihak parti lawan termasuk pertama sekali ingin menarik ahli-ahli kita tetapi ianya tidak begitu berkesan kerana kita mempunyai akar umbi yang kukuh, akar umbi yang sentiasa setia kepada perjuangan UMNO. Alhamdulillah.”

Ujarnya, untuk pemilihan kali ini, beliau mengharapkan agar UMNO akan terus menjadi platform perjuangan.

“Pemilihan kali ini kita mengharapkan ianya boleh dijadikan platform untuk kita terus diperkasakan dengan pemimpin-pemimpin akar umbi yang akan membantu kita memperkukuhkan sokongan bukan sahaja kepada UMNO sendiri tetapi untuk yang pasti menjadikan perjuangan ini sebagai titik tolak pada usaha untuk memperkukuh UMNO dan menjadikan UMNO sekali lagi pilihan kepada rakyat, insya-Allah.

“Kepada para perwakilan kita, pilihlah pemimpin yang setia, pemimpin yang akan membentuk UMNO menjadi sebuah parti yang bukan sekadar relevan tetapi parti yang meneruskan legasi membela rakyat dan menjadikan perjuangan sebagai satu titik tolak ke arah memperkukuhkan UMNO.

“Tapi yang pasti pada saya apa yang paling penting adalah menempatkan UMNO ke persada seperti yang sebelumnya iaitu sebagai perjuang rakyat dan perjuangan kepada agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari dan berakhir pada 26 Februari 2023 lalu.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit