UMNO Kelantan Bincang Agih Kerusi PRN Selepas Pemilihan Parti

MACHANG, 11 Mac – UMNO Kelantan akan berbincang mengenai pengagihan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas pemilihan parti berkenaan selesai, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Beliau berkata pihaknya setakat ini masih belum mengadakan perbincangan pada peringkat negeri sama ada berhubung pengagihan kerusi dan jawatankuasa bersama.

“Di Kelantan, kita fikir biarlah selesai dahulu pemilihan parti di peringkat bahagian kerana apabila selesai pemilihan berkenaan sudah tentulah akan terbentuk kepimpinan baharu UMNO di peringkat negeri.

“Setakat ini belum ada keputusan termasuk calon yang belum diputuskan dan apabila selesai pengagihan kerusi kita akan duduk berbincang di peringkat kepimpinan negeri sebelum mengemukakan cadangan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya kepada pemberita di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata selepas selesai pemilihan parti itu, pihaknya juga akan memberi tumpuan untuk memperkuat jentera parti bagi menghadapi PRN nanti. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.