Suasana Muhibah Ceriakan Pemilihan Dan Mesyuarat Wanita, Puteri UMNO Parit Buntar

PARIT BUNTAR, 11 Mac – Suasana pemilihan dan perjalanan mesyuarat Wanita UMNO Parit Buntar yang bermula pagi tadi bukan sahaja berjalan lancar malah berlangsung dalam suasana yang cukup muhibbah.

Para perwakilan tiba sejak awal pagi di Dewan Merdeka Parit Buntar untuk pendaftaran dan seterusnya diberikan taklimat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO bahagian Parit Buntar, Muhamad Wazir Abu Bakar.

Mesyuarat dimulakan mengikut agenda dan selesai taklimat tatacara pengundian oleh Pengerusi JPU, proses pengundian kemudiannya bermula kira-kira pukul 10 pagi.

Masing-masing membuat pilihan siapakah yang akan menerajui kepimpinan Wanita Pusat dan seluruh barisan kepimpinan yang lain dalam usaha memastikan Wanita UMNO terus gah berdepan cabaran.

Dalam pada itu, di Hotel Damai berlangsung pula mesyuarat dan pemilihan Puteri UMNO bahagian tersebut.

Proses pengundian dan perjalanan mesyuarat juga berlangsung dengan baik serta dalam keadaan yang cukup tenteram dengan masing-masing melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebaiknya.

Manakala bagi proses pemilihan dan mesyuarat Pemuda UMNO kawasan berkenaan akan berlangsung petang ini.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.