Pemilihan UMNO 2023: Pengundian Wanita, Pemuda, Puteri UMNO Bermula

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Pemilihan UMNO bagi sesi 2023/2026 membuka tirai hari ini dengan proses pengundian para perwakilan seluruh Malaysia bagi menentukan masa hadapan dan kelangsungan parti keramat itu.

Para perwakilan akan membuang undi untuk memilih calon terbaik bagi mengemudi bahtera Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di bahagian masing-masing serta pusat.

Bagi Wanita UMNO Malaysia, seramai dua calon mempertandingkan diri untuk jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap (4), Ketua Wanita UMNO (2), Naib Ketua Wanita UMNO (2) dan 61 bagi jawatan Exco.

Manakala untuk Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, seramai tujuh orang calon menawarkan diri untuk jawatan Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap (12), Ketua (4), Naib Ketua (4) dan 113 jawatan Exco.

Bagi Pergerakan Puteri UMNO Malaysia pula, dua orang calon telah menawarkan diri bagi jawatan Pengerusi Tetap, dua Timbalan Pengerusi Tetap, enam untuk Ketua, tiga Naib Ketua dan 42 calon bagi jawatan Exco.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad mengingatkan para calon yang menawarkan diri pada musim pemilihan ini untuk mematuhi segala tataetika ditetapkan bagi menambah baik imej parti.

Keputusan rasmi pemilihan ini akan diumumkan oleh Pengerusi JPU, Tan Sri Shahrir Samad setelah selesai proses perkiraan undi dan penelitian dijalankan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.