Patuhi Peraturan Termaktub Dalam UMNO, Pilihlah Pemimpin Secara Matang – Jamal

PAPAR, 11 Mac – Para perwakilan yang mempunyai tanggungjawab bagi mengundi dalam pemilihan UMNO sesi 2023/2026 disaran untuk menggunakan kematangan akal fikiran dalam memilih pemimpin bagi terus memperjuangkan UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi berkata calon-calon yang menawarkan diri juga perlu akur dan melaksanakan kempen dengan mematuhi segala peraturan yang termaktub dalam UMNO.

“Saya melihat bahawa sejarah besar bagi UMNO bukan sahaja di Sabah malah di seluruh negara kerana ramai calon yang menawarkan diri bagi jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Ini menggambarkan bahawa UMNO masih jadi pilihan rakyat di Malaysia dan kita mengganggarkan selepas ini apabila terbentuknya jawatankuasa di peringkat MKT, Wanita, Pemuda dan Puteri akan wujudnya gabungan muka baharu dan lama.

“Jadi nasihat saya kepada semua yang telah pun menawarkan diri dan ada masa lagi untuk berkempen maka patuhilah segala peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan kerana saya rasa ianya akan menjadi satu titik permulaan kepada UMNO khususnya Barisan Nasional untuk terus menjadi sebuah parti yang efisyen,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Papar tanpa sebarang pertandingan yakin bahawa para perwakilan akan dapat memilih mereka yang terbaik untuk mengisi barisan kepimpinan masa hadapan.

“Kepada perwakilan, saya nampak matang dan sudah tentu kematangan itu mereka akan gunakan untuk mengundi yang terbaik sebagaimana ucapan Presiden yang menyatakan bahawa pilihlah pemimpin yang benar-benar setia dan terus memperjuangkan UMNO.”

Dalam hal ini beliau turut menyorot bagaimana kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu yang dianggap sebagai pengajaran.

“Kekalahan dalam PRU lalu mengajarkan kita semua bahawa jika ada perpecahan dalaman UMNO maka inilah yang terjadi.

“Pemilihan ini akan mendidik kita untuk bersatu semula dan untuk teruskan perjuangan ini sudah tentu kita perlukan kesetiaan bukan sahaja untuk yang menawarkan diri tetapi juga kepada ahli biasa termasuk di peringkat cawangan yang turut akan terjemahkan undi mereka memilih yang terbaik,” katanya lagi.

Terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad mengingatkan para calon yang menawarkan diri pada musim pemilihan ini untuk mematuhi segala tataetika ditetapkan bagi menambah baik imej parti.

Jelasnya, sebagai orang politik sudah semestinya mereka perlu memahami dan mematuhi segala larangan serta ketetapan dibuat bagi memudahkan proses pemilihan barisan kepimpinan baharu parti. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.