Ahmad Zahid Ucap Selamat Bersidang, Lakukan Pemilihan Terbaik Untuk Institusi Wanita, Pemuda, Puteri

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Tarikh 11 Mac adalah berlangsungnya sesi pemilihan bagi Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat bersidang kepada semua kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di seluruh negara.

“Lakukanlah pemilihan yang terbaik di kalangan yang baik-baik ini dan suburkanlah demokrasi dengan acuan UMNO dan saya doakan selamat berjuang kepada seluruh perwakilan dan calon-calon yang bertanding,” katanya dalam hantaran melalui Facebooknya.

Jelas beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri (TPM), sesi pemilihan ini akan menentukan teraju institusi Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang akan mencorakkan parti pada masa hadapan.

“Sesungguhnya saya amat teruja melihat ramai calon-calon khususnya wajah-wajah muda dan baharu yang menawarkan diri bagi membina semula parti kita untuk menarik hati rakyat keseluruhannya

“Ini membuktikan bahawa UMNO tidak lekang dari barisan pelapis yang semuanya berpotensi dan sentiasa melahirkan pemimpin-pemimpin baharu yang insya-Allah mampu mencorakkan parti sebagai sebuah parti yang akan terus melakukan kesinambungan perjuangan.

“Sebagai sebuah keluarga besar UMNO kita mahu sama-sama membentuk dan memperkukuhkan agenda parti serta terus memperkasakan parti ini dalam slogan UMNO Bangkit 2.0,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.